Sunday, May 13, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 6



6
            “SU…”
            Dari jauh sudah kedengaran suara Zulhairi melaung. Kuat suaranya memanggil namaku, namun aku buat-buat seperti hilang pendengaran. Malas mahu bertemu muka dengannya buat masa ini. Aku perlukan sedikit ruang untuk memikirkan tindakan wajar yang perlu aku lakukan untuk menggagalkan rancangan yang dibuat oleh Zulahiri. Rancangan yang boleh aku kategorikan sebagai rancangan yang tak berapa nak betul.
            Laju langkah aku bawa meninggalkan pintu utama. Kaki aku hayun kemas untuk segera sampai ke kawasan parkir berbayar yang letaknya tidak jauh dari Wisma Conlay. Punat alat kawalan jauh kereta Perodua Myvi milikku, aku tekan sebaik sahaja menghampiri kereta. Setibanya di situ aku terus membuka pintu kereta lalu masuk ke dalamnya.
            “Su… tunggu sekejap!” Zulhairi nampaknya tidak mahu mengalah. Tangannya pantas sahaja menghalang pintu keretaku daripada tertutu rapat.
            “Apa ni, Zul? Tepilah, aku nak balik!” masih aku terus cuba menutup pintu keretaku walaupun aku tahu kudratku tidak mampu menyaingi tenaga Zulhairi.
            “Su.. kau ni, janganlah macam budak-budak. Jomlah berbincang. Aku terpaksalah! Kau pun tahu keadaan aku kan?” Zulhairi masih terus menghalang.
            “Amboi sedap aje mulut kau cakap aku macam budak-budak ya! Dah.. tepi, aku nak balik!”
            “Memang kau macam budak-budak. Dah tu, mungki janji pula” Zulhairi tunjuk muka garang.
“Bila masa pula aku mungkir janji? Bila masa yang aku janji yang aku nak kahwin dengan kau? Bila? Cuba kau cakap?” akhirnya aku melangkah keluar dari kereta. Tidak puas hati dengan tuduhan yang baru dilemparkan.
“Bila masa aku cakap yang kau dah janji nak kahwin dengan aku?”
Soalan yang Zulhairi pulangkan itu membuatkan aku kembali berfikir. Iya tak ya juga. Bila masa pula Zulhairi menyebut yang aku dah berjanji untuk berkahwin dengan dia? Kenapa perkataan kahwin itu tak habis-habis muncul dalam kepalaku sejak menerima loket daripada mak cik Khamsiah semalam? Semua itu cukup untuk membuatkan aku terus terdiam.
“Itulah orang perempuan, berjanji pandai, lepas tu buat-buat lupa.  Dulu kau juga yang buat janji yang kita wajib tolong kalau ada antara kita dalam kesusahan. Sekarang ni kau pula yang nak mungkir janji. Apa cerita?  
Lagi kata-kata Zulhairi yang berjaya menutup rapat mulutku. Hanya otak yang sibuk menyelongkar semula fail-fail janji yang dulunya pernah aku tabur. Wajib tolong kalau dalam kesusahan? Pernah ke, aku buat janji macam tu? Anak mataku memandang tepat ke wajah Zulhairi sambil memikirkannya. Oh ya! Baru kini aku dapat imbas kembali semuanya. Cepat juga otak mengimbas maklumat lama. “Janji lima belas tahun lalu pun kau nak berkira ke?”  aku cekak pinggang.
“Ah… lima belas tahun ke, lima belas hari ke, janji tetap janji!” Zulhairi tetap mahu aku berpegang pada janji. Mana tidaknya, dia yang sedang dalam kesulitan. Cuba kalau aku yang hadapi masalah besar itu kini. Confirm dia orang pertama yang buat-buat hilang ingatan. Nak mengelak daripada menunanikan janji yang aku minta untuk dipersetujui bersama sewaktu kami di tingkatan 5 dulu.
“Ah… tu janji masa zaman kita budak-budak. Mana boleh ambil kira!” amarah yang semalamnya meluap-luap, kian surut sedikit demi sedikit.
“Ada aku kisah?” Zulhairi pantas membalas.
“Tak kuasalah aku nak layan kau ni, Zul. Tepi!” aku tolak Zulhairi. Membuatkan dirinya terdorong ke belakang. Lalu, segera aku menaiki kereta, menutup pintunya dan menghidupkan enjin. Bersedia untuk bergerak meninggalkan kawasan parkir. Zulhairi sudah tidak lagi aku hiraukan.

KAFETERIA memang penuh sesak saat-saat begini. Tapi perut yang bunyinya bukan main kuat kedengaran telah memaksa aku untuk turun membeli roti lebih awal daripada kebiasaan. Kalau tidak diikutkan, pasti tumpuan untuk menyiapkan kerja bakal hilang, terbang melayang.
            Seperti selalu, rak roti menjadi perhatian utamaku apabila sampai saja di kafeteria. Tidak berminat untuk singgah di kiosk nasi ayam ataupun nasi campur walaupun yang sebenarnya, anak mata sentiasa melirik melihat warna warni lauk-pauk yang dijual setiap kali melintasi kiosk jualan. Wajib makan roti untuk menjimatkan perbelanjaan harian. Al-maklumlah, ada tiga lagi tanggunggan yang perlu aku jaga kebajikannya. Jadi berjimat cermat adalah jalan terbaik.
            Bukan arwah ayah tidak meninggalkan simpanan untuk mereka, tapi biarlah simpanan itu mereka gunakan untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi nanti. Setidak-tidaknya, tak perlulah mereka menanggung hutang pendidikan berpuluh-puluh ribu macam aku ni, ha!  Umur dah masuk 33 tahunpun tak habis-habis lagi bayar. Entah bila nak habispun aku tak tahu. Apa yang pasti, aku harus melangsaikannya sebelum nyawaku dicabut. Kalau tidak, mahu tidak aman hidup di alam baru tu. Hutang tetap hutang! Wajib dibayar!
            Baru saja tangan mahu menggapai plastik roti kegemaranku, tiba-tiba pula ada tangan lain terlebih dahulu menyambar bungkusan roti itu. Terus kaku pergerakan tanganku. Mata aku alihkan, ingin melihat gerangan yang berjaya mendapatkan roti itu. Macam kenal! Tapi siapa? Erm… otak mula bekerja. Lantaklah. Aku mengalah setelah beberapa detik, apabila ternyata otak gagal memberikan sebarang output. Lalu aku ambil saja bungkusan roti yang masih banyak tersusun pada rak itu. Tak perlu berebut!
            “Ingat saya lagi tak?”
Baru saja aku mahu beredar ke kuanter bayaran, soalan itu menerjah ruangan telinga. Lantas aku kembali memandang lelaki yang sudah terang-terang tidak dapat aku ingat kewujudannya. “Tak!” balasku ringkas.
            “Cuba ingat betul-betul” arah lelaki itu.
Aku berikan pandangan penuh makna apabila diarah sebegitu. Aku bukan setakat tidak ingat, malah aku juga tidak berminat untuk ingat apa-apa tentang dirinya. Tidak perlu ada sebarang pertambahan kenalan dalam hidupku. Yang ada saja sudah lebih daripada mencukupi. “Memang tak ingat. Sorry lah ya” aku terus beredar. Tak ada masa untuk bermain kata dan membalas renungan lebih lama.
            Selesai membuat bayaran aku mengambil keputusan untuk berdiri makan di sudut kafeteria. Memandangkan semua kerusi meja penuh dengan penghuni, maka keputusan itu aku anggap sebagai keputusan terbaik. Lagi pula dapat makan sambil menyaksikan permandangan indah lanskap dari tingkat enam. Senang hati dibuatnya. Apabila hati senang, makananpun akan mudah dihadam. Teori yang aku rangka sendiri. Entah betul, entah tidak.
            “Kan tak elok makan sambil berdiri. Apa kata duduk kat sini!”
            Aku menoleh apabila dapat aku rasakan, kata-kata itu ditujukan padaku. Pandangan lanskap yang menghijau tidak lagi berada di mata, yang ada kini cuma susuk tubuh seorang lelaki yang siap memegang sebuah kerusi bersamanya. Siapa lagi kalau bukan Zulhairi.
            “Duduk” pelawa Zulhairi.
Aku hanya diam memandang kerusi kosong itu. Pasti Zulhairi yang mengangkut kerusi itu lalu dibawanya ke sini.
            “Duduk ajelah” Zulhairi menarik bajuku, lalu membuatkan aku terduduk di atas kerusi itu secara paksa.
            “Zul, boleh tak kau jangan jumpa aku buat masa sekarang ni?” aku buat permintaan.
            “Kenapa?” Zulhairi melutut. Seperti mahu kedudukan kami setara. Melihat tindakan Zulhairi itu, mataku melilau memandang sekeliling kafeteria. Risau kalau ada yang beranggapan bahawa Zulhairi sedang cuba membuat lamaran. Mujur hanya satu, dua anak mata yang melihat ke arah kami. Itu pun hanya seketika, yang lainnya pula sibuk menikmati hidangan masing-masing.
            “Sebab aku takut kau cedera parah nanti” aku berkias, berharap Zulhairi faham maknanya.
            Zulhairi ketawa berdekah-dekah. “Kau nak pukul aku dengan apa? Dengan kayu ke, dengan besi? Kalau setakat dengan penumbuk kau tu, tak payahlah… silap hari bulan, tulang tangan kau tu pula yang hancur. Elok-elok boleh makan sambil duduk atas kerusi, tak pasal-pasal kena makan sambil berbaring atas katil hospital” Zulhairi menyambung tawanya.
            Kurang asam punya Zulhairi, bukannya nak meredakan kemarahanku ini. Malah ditambahnya pula dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Perangai tak berubah langsung lelaki yang seorang ini. Ada saja modal untuk dia menyekat aku daripada terus mara dengan kata-kata.
            “Kau tengok muka aku ni, ada nampak macam orang yang tengah buat lawak, ke?” roti yang masih separuh berbaki sudah tidak dapat lagi aku makan, hanya mampu aku pegang kini.
            “Alah, tu pun nak marah. Tak habis-habis dengan marahlah kau ni, Su. Cuba bawa-bawa bersabar. Tenangkan fikiran, lapangkan dada, buka minda… baru boleh senang hati macam aku ni” Zulhairi cuba bertindak mendidik. Namun subjeknya tidak dapat aku kenal pasti dengan jelas. 
            “Eh, bangunlah Zul. Kau tak penat ke, melutut kat depan aku ni. Bangun! Karang tak pasal-pasal orang ingin kau nak melamar aku pula!” sebenarnya aku sendiri tidak selesa dengan kedudukan Zulhairi. Ada satu rasa dalam jiwa, yang pastinya aku yakin bukan kuch kuch hota hai! Aku belum gila untuk jatuh hati pada dia.
            “Peduli apa dengan orang lain. Lagipun mak aku dah tolong melamar kau bagi pihak akukan? Kau pun dah setujukan?” sinis ketawa Zulhairi.
            Tengok, lagi-lagi aku yang kena! “Melamar kepala otak kau. Mati hidup balikpun aku takkan kahwin dengan kau! Aku tahulah apa aku nak buat nanti!” aku jelir lidah. Geli-geleman! Namun Zulhairi sedikitpun tidak berubah riak wajahnya. Senyumannya itu masih terus panjang walaupun kata-kataku itu sepatutnya menguris hati lelakinya. Tak ada perasaan ke apa lelaki seorang ini?
            “Zul…”
            Pandanganku dan Zulhairi yang tadinya bertaut sudah beralih tempat. “Eh, Wafi, kau buat apa kat sini? Ada hal penting ke?” Zulhairi bingkas bangun, kemudian dia menepuk-nepuk lutut seluarnya yang kotoran habuk dan debu dapat dilihat.
            Alamak! Aku telan liur. Lelaki itukan, lelaki yang beli roti tadi. Aduh, kawan Zulhairi rupanya. Kenapalah Zulhairi duk berkawan dengan lelaki ini? Aku sudah tidak sedap hati. Rasanya aku patut beredar segera sebagai langkah melarikan diri.
            “Tak ada apalah, nampak kau melutut kat sini… ingatkan kenapa, tu yang singgah!” lelaki itu memberikan penjelasan yang turut dapat aku dengar.
            “Siapa ni?”  
            Baru saja aku mahu bangun, lelaki itu sudah bertanya tentang diriku. Cis! Tak sempat nak bertindak. Nak tak nak, aku buat-buat membetulkan duduk. Padahal tadinya aku sudah bersedia untuk bangun.
            “Kenalkan, yang ni Suraya, kawan aku!” Zulhairi memperkenalkan aku. Aku pula hanya mampu menganggukkan kepala dan tersenyum paksa.
            “Oh, Suraya. Nice name. Saya, Wafi…” lelaki itu menghulurkan tangan, tanda perkenalan.
            Kini barulah aku bangun, sambil memerhatikan salam yang masih belum aku sambut itu. “Zul, aku gerak dulu” kerusi yang tadinya aku duduk, aku tolak ke tepi untuk memberikan aku ruang untuk berlalu dari situ. Salam lelaki yang bernama Wafi itu tidak aku sambut dengan sebab munasabah, dia seorang lelaki.  Lagipun aku tak kenal dia, walaupun aku dah tahu nama dia, tapi tetap aku tidak punya rasa minat untuk mengenali dirinya. Harap dia tak muncul lagi depan aku selepas ini.

PAGI-PAGI lagi Encik Fahmi sudah memanggil aku untuk bertemu dengannya. Arahan yang baru aku terima melalui telefon itu membuatkan aku yang baru saja mahu membuka komputer terpaksa menangguhkannya. Terlebih dahulu aku harus bertemu dengan Encik Fahmi di biliknya.
            Pintu bilik aku buka luas setelah mendengar suara Encik Fahmi membenarkan melalui ruang pintu yang sedikit terbuka. Di hadapan Encik Fahmi sudah ada seorang wanita yang aku kira usianya jauh lebih muda daripadaku. Perempuan bertudung litup itu melemparkan senyumannya padaku. Jelas kelihatan lesung pipit pada kedua-dua pipinya. Cantik! Desis hatiku.
            “Duduk, Suraya” Encik Fahmi memberikan arahan sambil sibuk dirinya mencari sesuatu di balik timbunan kertas, atas tray dokumen.
            “Inipun dia” senyuman puas Encik Fahmi dapat aku lihat kini. Sampul surat putih yang tertera logo syarikat ditarik keluar, namun nama pemilik surat itu tidak dapat aku lihat dengan jelas.
            “Suraya, saya kenalkan, ini Cik Nurul Madihah”
            Sesi perkenalan itu membawa tanganku dan Madihah bertaut erat. Walaupun aku masih belum mengenali diri wanita itu sepenuhnya. Namun dapat aku rasakan yang wanita muda itu mempunyai akhlah yang cukup baik. Sopan dirinya membuatkan aku rasa senang, walhal aku bukanlah orang yang mudah bergaul dengan orang yang baru aku kenal.
            “Mulai hari, Madihah akan ambil alih tempat awak”
            Jantungku rasa direntap keluar saat perkara itu diumumkan. Apa yang cuba disampaikan oleh Encik Fahmi? Hati tertanya-tanya. Melihat pula sampul putih yang masih lagi dalam pegangan Encik Fahmi, hatiku jadi kurang senang. Apakah ini bermakna aku akan dibuang kerja? Serabut aku memikirkannya.
            “Maksud Encik Fahmi?”
            “Maksud saya, tugas awak sebagai eksekutif kewangan akan diambil alih oleh Madihah mulai dari hari ini” Encik Fahmi cuba menerangakan dengan lebih terperinci. Walhal apa yang diterangkan sama saja maknanya daripada tafsiranku.
            “Jadi, saya…?” gagap aku untuk meneruskan kata.
            “Suraya…” perlahan nada Encik Fahmi. Seolah-olah, dirinya tidak sanggup untuk meneruskan kata. “Awak dinaikkan pangkat sebagai eksekutif kanan kewangan. Tahniah!”
            “Naik pangkat!” lagi tidak aku duga. “Alhamdulillah” lidah mengucapkan syukur. Berita gembira itu membuatkan hatiku tersenyum. Rezeki budak bertiga di rumah itu agaknya.
            “Tahniah!” Madihah sekali lagi menghulurkan salam.
            “Terima kasih” aku membalas kata dan salam yang dihulurkan itu serentak.
            “Suraya, saya nak awak bagi tunjuk ajar pada Madihah. Awak senior dia sekarang. Betulkan kalau ada apa-apa kesalahan. Madihah saya letakkan bawah penyeliaan awak” Encik Fahmi menyampaikan amanat.
            “Insya’ALLAH, Encik Fahmi, saya akan berusaha untuk bantu Madihah” aku memberikan jaminan.
            “Madihah. Awak perlu belajar cara Suraya bekerja. She’s the best!” ujar Encik Fahmi lagi, membuatkan aku melirik senyuman.

“KAK SU nak pergi  lunch ya, boleh Ihah ikut sekali?”
Permintaan yang diluahkan oleh Madihah membuatkan aku terdiam seketika. Selama hampir 13 tahun aku bekerja di sini, aku sudah terbiasa untuk bersendiri untuk kemana saja. Agak berat untuk aku memenuhi permintaan Madihah.
            “Itupun kalau kak Su tak kisah. Kalau kak Su tak biasa, tak apa, Ihah Faham” Madihah mula bergerak menuju ke tempat duduknya.
            Simpati pula aku melihat keadaan Madihah. Dia masih baru di sini, jadi pasti dia rasa janggal untuk semuanya. Tidak patut untuk aku membiarkan dia berseorangan, lebih-lebih lagi kini dia adalah tanggungjawabku.
            “Ihah… jom lunch dengan akak”  sapaku sebaik saja lalu di hadapan work station Madihah. Madihah menunjukkan riak wajah gembira. Dan kegembiraannya itu menimbulkan rasa senang di hati.
            “Terima kasih kak Su” Madihah pantas mengeluarkan dompet dari beg tangannya lalu bergerak menyaingi aku.

SEGERA aku bergerak ke ruang meja yang kosong. Mujur ada, itupun di hujung sudut, jadi agak jauh untuk berjalan membeli makanan. Tidak mengapa, asalkan ada tempat duduk untuk aku dan Madihah. Oleh kerana aku hanya perlu membeli sekeping roti, jadi aku arahkan supaya Madihah membeli makanannya terlebih dahulu.
            Sementara menungguh Madihah sampai, aku memerhati sekeliling. Harap-harapnya Zulhairi tidak ada di sini. Memandangkan aku masih belum dapat sebarang idea untuk mematahkan rancangan Zulhairi, jadi ada baiknya aku mengelakkan diri daripada berjumpa dengan dirinya. Pening aku memikirkannya. Mak cik Khamsiah pun satu hal juga. Apa yang dia berkenan sangat pada aku ni, akupun tak tahu. Sampaikan sekarang ni, hari-hari mak cik Khamsiah menghantar lauk-pauk ke rumah dengan alasan aku tidak perlu lagi bersusah payah untuk memasak selepas balik kerja. Susah sungguh!
            “Dari tadi melilau aje anak mata, cari aku ke?”
            Dah aku jangka, dia pasti muncul! Ini yang aku lemah ni. “Tak ada maknanya cari kau!” aku kalih wajah. Zulhairi sudah ambil tempat duduk. Mujur ada dua lagi tempat duduk yang kosong.
            “Su, kau dah bersedia ke, belum? Mak aku dah bising dah ni” Zulhairi buat muka sepuluh sen. Mengharap belas simpati.
            “Bersedia apanya?” aku pula buat-buat tak faham, walaupun sebenarnya kau tahu sangat apa yang cuba Zulhairi nyatakan.
            “Kalau kita terus kahwin tak payah bertunang kau setuju tak, Su?”
            “Ish… kau ni kan Zul, kau tak faham bahasa Melayu ke, apa? Suka hati kau aje nak ajak aku kahwin. Aku cakap, aku tak nak… aku tak naklah… Kau pergilah cari orang lain, orang yang kau cinta, yang kau sayang, baru kau boleh hidup bahagia.” aku bantah macam selalu.
            “Kalau kau tak nak kahwin dengan aku, habis tu, aku nak kahwin dengan siapa?”
            “Alah, alasanlah kau Zul. Macam aku baru kenal kau semalam. Kau tu bukan tak ada yang suka, kau aje yang jual mahal. Kat facebook kau tu bukan main ramai lagi perempuan yang take care pasal kau. Ingat aku tak tahu ke? Perempuan macam mana lagi yang kau nak cari?” aku mulakan hujah. Pada awalnya malas aku mahu ungkitkan pasal kawan-kawan wanita dia kat facebook yang hari-hari aku tengok bertanya khabar. Ada juga yang tidak putus asa, mengajak Zulhairi keluar bersama-sama tanpa rasa malu. Semuanya mampu aku baca.   
            “Kau pun tahu akukan, Su. Aku malaslah nak pikul tanggungjawab” senang jawapan Zulhairi.
“Pandai kau ya. Habis tu kau nak jadikan kau kambing hitamlah. Kurang asam kau Zul!” aku betul-betul tak puas hati.
“Eh, Su, kau ingat senang ke nak jadi suami? Lainlah kalau aku dah jumpa dengan perempuan yang aku suka. Masa tu mungkin aku sanggup kut nak pikul semua tanggungjawab tu” Zulhairi tersengih sendiri dengan katanya.
“Assalamualaikum” Madihah tiba tepat pada masanya. Pasti perbincangan yang tak berkesudahan itu akan terhenti dengan kehadiran Madihah. “Ihah boleh duduk sini, kan?” tanya Madihah.
“Duduklah, Madihah” aku bantu Madihah meletakkan dulang coklat yang berisi sepinggan nasi ayam, semangkuk sup dan air soya yang dipegangnya itu ke atas meja.
“Zul, semalam kau kenalkan kawan, kau si Wafi tu, kan. Hari ini aku nak kenalkan kau dengan kawan aku pula” aku buka bicara baru.
“Zul, kau dengar tak ni” meja aku hentak perlahan, mengharap sedikit perhatian Zulhairi yang tak henti-henti memerhatikan Madihah dari tadi.
“Ya, aku dengar… teruskan” baru kini anak matanya beralih arah. Itupun hanya seketika.
“Ini Nurul Madihah. Hari ni dia punya first day kat sini” Melemparkan sebuah senyuman manis buat Zulhairi sebelum kembali memandang menu makanannya. Dan senyuman itu dibalas sama manis oleh Zulhairi. Melihat reaksi mereka berdua, aku jadi terfikirkan sesuatu. Mungkin mereka berpeluang untuk mencipta jodoh! Jadi aku akan selamat daripada rancangan gila Zulhairi. Bibir sudah tersenyum.
“Kau orang berboraklah dulu, aku nak pergi beli makanan. Kau nak makan apa-apa tak, Zul?’ aku sekadar bertanya, tak ada niatpun nak belikan apa-apa buat dia. Kalau Zulhairi meminta sesuatupun, tak mungkin akan aku belikan kerana aku sudah berkira-kira untuk meninggalkan mereka berdua di situ, mencipta detik pertemuan yang mampu meninggalkan bibit-bibit awal cinta. Harapnya rancanganku ini berjaya.
Fresh Orange, satu” Zulhairi betul-betul membuat pesanan.
“Okay!” aku sekadar mengiyakan. “Madihah akak pergi beli makanan dululah ya” sebaik sahaja Madihah mengangguk, aku terus bangun. Berjalan meninggalkan mereka berdua bersama satu senyuman.
Kakiku sudahpun mengatur langkah untuk pergi, namun mataku masih di situ, mengikuti perkembangan awal. Zulhairi juga tidak pula dia menoleh ke arahku, jadi aku boleh katakan yang pada saat ini 50 peratus rancanganku terlah berjaya.
“Aouchhhh” aku terpaksa membetulkan pandangan yang dari tadi tak henti-henti mengintip Zulhairi dan Madihah setelah terlanggar seseorang. Wafi! Aduhai, dalam ramai-ramai orang kat kafeteria ni, kenapa dia juga yang aku langgar? Malas betullah nak berhadapan dengan lelaki ini.
“Su, okay?”
Belum sempat aku menghulur maaf, Wafi terlebih dahulu bertanyakan keadaanku. “Aku okay, sorrylah tak sengaja” aku tak pasti apa reaksi yang perlu aku tunjukkan saat ini. Sebenarnya, bila saja terjumpa dengan Wafi, hati aku rasa tak sedap.
“Tak apa, kalau hari-hari Su nak langgar sayapun tak apa” Wafi melirikkan senyuman.
Aku sudah terasa lain benar saat ini. Ayat-ayat yang dituturkannya rasa macam sengaja mahu membuatkan aku terus berlari jauh daripada dirinya.
“Tengok siapa tu, asyik sangat, sampai tak nampak orang lain?” Wafi mula membuka pandangannya jauh, melihat keadaan sekeliling. Alamak! Aku mula risau. Buatnya dia nampak Zulhairi tengah duduk berdua dengan Madihah, lepas tu dia pun turut serta. Habislah…. Buatnya lepas Madihah tengok dia, Madihah jatuh hati pula kat dia, lagi punah rancangan aku. Bukan aku tak percaya pada kehebatan dan kekacakan Zulhairi, tapi Wafi juga tidak kurang hebatnya. Jadi aku harus bertindak!
“Kau dah makan ke, belum?” pantas aku bertanya, cuba membawa pandangannya kembali ke arahku.
“Belum. Kenapa, Su nak belanja ke?” Wafi kelihatan teruja.
“Taklah. Saja nak bagi tahu kau, tempat semua full. Kau turun makan sekejap lagi ajelah” cepat-cepat aku perbetulkan andaian Wafi yang ternyata jauh menyimpang.
“Oh…” Wafi ketawa sendiri. Mungkin malu dengan kata-katanya tadi. “It’s okay, saya pun nak beli roti aje, tak perlukan tempat dudukpun”
            “Baguslah…” lega rasa hatiku.
            “Bagus? Kenapa bagus pula?”
            Aduh! Salah perkataan pula. “Err… baguslah, sebab akupun nak pergi beli roti juga. Bolehlah kita jalan sama-sama” terpaksa juga aku cipta asbab yang aku sendiri tidak berapa suka. Nak tak nak, nampaknya terpaksalah aku bertindak sama seperti kataku.
            “Betul ke, ni?” Wafi seakan tidak percaya.
            “Kalau kau percaya, bolehlah jalan sekarang. Tapi kalau rasa macam tak percaya, kau berdirilah kat situ sampai esok pagi” aku terus membuka gerak. Lebih lama bertapak dekat situ, lebih bersar kemungkinan yang dia akan dapat melihat Zulhairi dan Madihah di situ.
            “Su, boleh kita jadi kawan?” sambil berjalan ke rak roti, Wafi membuat permintaan.
            Ini yang aku malas ni. Lagi rasa tidak senang bertandang. “Kau memang suka kumpul koleksi kawan, ke?” aku menyoal dengan soalan yang tak masuk akal. Lantas mencetuskan tawa Wafi.
            “Awak ni, peliklah Su”
“Pelik? Apa yang peliknya? Aku rasa aku sama aje dengan orang lain”
“Tak. Sikitpun tak sama dengan perempuan-perempuan yang pernah saya kenal. Su sangat istimewa” 
            Istimewa! Aduh, ini dah boleh disenaraikan dalam kes-kes berat ni. Dah lain macam sangat dah bunyinya.    
            “Su sudi nak berkawan dengan saya kan?” lagi soalan yang sama berkumandang.
            “Wafi, aku rasa kau dah salah faham ni. Biar aku terus terang dengan kau” sambil mendapatkan roti di atas rak, aku cuba memperbetul keadaan. Wafi langsung tidak mencapai roti yang ada, sedangkan dia yang beriya-iya nak membeli roti tadinya.
Sambil berjalan menuju ke kuanter bayaran, aku tarik nafas panjang. Aku harap Wafi tidak berkecil hati dengan apa yang bakal aku katakan. Wafi terus menanti aku meneruskan kata.
“Aku sebenarnya memang tak ramai kawan, tapi buat masa sekarang ni aku belum ada rasa minat nak jadikan aktiviti mengumpul kawan sebagai hobi. Macam yang kau tengah buat sekarang ni” dengan tega aku bercerita. Semoga Wafi tidak berkecil hati. Sungguh aku tak mampu ada kawan lain, selain Zulhairi. Atau mungkin juga yang sebenarnya aku tidak perlukan kawan lain. Cukup saja dengan Zulhairi.
“Lagipun, aku jaminan 100 peratus yang aku bukan kawan yang baik. Buang masa kau ja nanti” aku cuba menyakinkan.
“Saya ikhlas nak berkawan dengan, Su. Saya tak ada niat nak memaksa, tapi saya harap Su boleh pertimbangkan. Mungkin hari ni Su tak dapat nak terima saya, tapi saya tetap akan tungguh sampai Su sudi”
Terus aku terdiam mendengar bicara Wafi. Wafi sudahnya mengeluarkan not lima ringgit lalu diserahkan kepada juruwang. “Saya harap saya ada peluang untuk jadi kawan Su satu hari nanti” ujar Wafi sebelum berlalu pergi.
Aku masih berdiri kaku umpama patung lilin, dan hanya tersentak saat juruwang memulangkan baki wang atas pembelian roti itu. Tiga ringgit empat puluh sen! Masih sempat otakku mengira baki yang dipulangkan. Baki yang sepatutnya disimpan oleh Wafi.
TERMENUNG aku di meja. Wang milik Wafi harus aku pulangkan. Tapi bagaiman itu akan berlaku andai aku tidak ingin bertemu dengannya lagi? Kepala yang tidak gatal aku garu dengan harapan idea bakal muncul.
            “Kak Su” Madihah menyapa, membuatkan fokusku kini beralih kepadanya. Harap dia tidak marah apabila aku meninggalkan dirinya begitu sahaja, berdua dengan Zulhairi.
            “Kak Su ke mana? Lama Ihah dengan abang Zul tunggu kak Su”
            Abang Zul? hatiku yang tadinya sesak kini sudah mampu kembali tersenyum. Nampaknya seperti sudah ada perkembangan positif. “Maaflah Ihah, akak sakit perut tadi, lama sangat dalam toilet. Inipun baru aje balik dari toilet” aku berbohong walaupun aku tahu dengan pembohongan aku sudah menempah dosa. 
Tiba-tiba saja teringatkan arwah ayah. Mana tidaknya, ayah cukup membenci pada pembohongan. Pernah satu ketika, aku berbohong pada ayah mengatakan aku ada kelas tambahan di sekolah semata-mata ingin mengelakkan diri daripada menguruskan kerja-kerja di rumah. Aku cukup penat atas tugas harian itu, jadi aku putuskan untuk berbohong buat pertama kalinya. Sayangnya ayah dapat tahu pembohonganku itu. Entah daripada mana berita itu sampai aku pun tidak pasti. Yang pastinya teruk aku dimarahi ayah gara-gara permbohongan itu.
Lepas aje dimarahi ayah, aku terus berkurung di dalam bilik. Sebutir nasipun aku tak makan, setitik airpun aku tak minum. Memboikot walaupun hanya tuhan yang tahu betapa laparnya perutku, betapa dahaganya tekakku. Namun atas dasar memberontak, aku tahankan juga semua rasa.
Pagi esoknya pada tanganku sudah ada lipatan kertas putih sebaik sahaja aku bangun daripada tidur. Dalam rasa mengantuk yang masih bersisa, kertas yang berlipat kemas itu aku buka.
"Seseorang yang selalu berkata benar, maka ia akan ditulis di sisi Allah sebagai orang yang benar. Dan jauhilah kebohongan. Sesungguhnya kebohongan menghantarkan kepada kejahatan, dan kejahatan menghantarkan ke neraka. Seseorang yang biasa berbohong, maka ia akan ditulis di sisi Allah sebagai pembohong." (HR Bukhari dan Muslim)
Sehingga hari ini aku masih ingat setiap patah kata yang aku terima. Aku yakin, ayah yang memberikan peringatan itu. Saat ini terasa rindu akan arwah ayah walaupun aku tahu aku bukanlah anak yang disayanginya.
“Kak Su…”
Panggilan Madihah mengejutkanku. Terhenti lamunan yang tadinya singgah bertandang.
“Nah, ini untuk kak Su” Madihah menyerahkan plastik berwarna jingga yang berisi polistren makanan.
“Untuk akak?” agak terkejut diriku menerima bungkusan makanan itu.  
“Untuk kak Su” Madihah mengesahkan.
“Alahai, kenapalah Ihah susah-susah belikan untuk akak ni” rasa bersalah timbul kini. Sudahlah aku berbohong padanya, kini dia membelikan makanan untukku pula. Sungguh-sungguh rasa bersalah.
“Bukan Ihah, kak Su… abang Zul yang kirim”
“Zul?” lagi aku terkejut saat ini.
“Haah, Ihah balik tempat Ihah dulu ya” Madihah tersenyum.
Setelah Madihah pergi, aku mengeluarkan polistren makanan itu daripada plastik, lalu polistren putih itu aku buka. Selain nasi goreng ayam, aku juga dapat perhatikan, nota yang tertulis pada bahagian atas penutup polistren putih itu.
Kalau iya pun nak jadi matchmaker, jgn sampai korbankan mkn tgh hr kau, tu. Aku tahu apa yg ada dlm fikiran kau!
Aku jadi tersenyum membaca nota yang ditulis dengan pen berwarna biru. Ceh, dia tahu rupanya semua yang aku rancangkan! Apapun, aku tetap rasa rancangan aku berjaya. Selesai masalah!  
Bersambung...

P/S :
Jutaan terima kasih buat semua pembaca setia SAC... Jumpa next entry :)


Thursday, May 3, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 5


5
Tergopoh-gapah aku berjalan menuju ke lobi lif. Waktu pejabat sudah hampir lima belas minit berlalu, dan kini, tinggal sepuluh minit sahaja lagi mesyuarat bahagian kewangan akan bermula. Aku tak mahu lewat buat yang kesekian kalinya pada hari yang sama. Semuanya gara-gara Zulhairi. Kalau dia tidak berbual panjang denganku dalam telefon semalam, sudah pasti semua ini tak terjadi. Keletihan masih lagi terasa, sarapanpun tidak sempat aku ambil pagi ini.
            Sambil menunggu lif sampai, aku membuka ladies briefcase milikku. Mahu memastikan bahawa laporan bulanan ku ada bersama. Laporan itu harus dibentangkan dalam mesyuarat nanti. Bayang laporan itu sudah kelihatan, tapi hati tetap tidak puas. Jadi aku keluarkan laporan yang belum sempat aku binding itu. Tersenyum aku melihat kulit laporan itu. Lega menamani hati. Tinggal untuk binding,  kemudian boleh aku bawa masuk kedalam mesyuarat dengan aman dan tenang.
            Bunyi loceng yang kedengaran membuatkan perhatianku pada laporan tadi menjadi hilang. Bunyi yang menandakan lif sudah tiba. Hanya menunggu masa untuk pintunya terbuka. Segera aku kembali cuba memasukkan laporan itu ke dalam briefcase sambil menapak ke arah lif yang lampu isyarat untuk naik ke atas tersedia bernyala. Tapi entah bagaimana, laporan yang tadinya cuba aku masukkan ke dalam briefcase, terlepas daripada pegangan tangan. Membuatkan laporan yang hampir tujuh helaian bertaburan di hadapan pintu lif.
            “Aduhai…” keluhku panjang. Saat nak cepat, saat itu jugalah bermacam-macam hal mahu terjadi. Mujur tidak ada orang lain di lobi itu. Jadi dengan pantas aku mengutip lembaran kertas yang bertaburan. Pintu lif terbuka ketika aku cuba mendapatkan helaian terakhir yang duduknya betul-betul di hadapan pintu lif. Belum sempat aku mengangkat helaian itu, ada kasut yang terlebih dahulu singgah, menumpang tapak di atas kertas yang tadinya putih bersih.  Segera aku angkat wajah, memandang pemilik kasut tersebut.
            “Sorry
            Perkataan tunggal itu sampai di telingaku. Lelaki itu akhirnya mengalihkan langkah, membongkokkan badanya, mengambil kertas yang tadinya dipijak, lalu diserahkan kepadaku. Aku hanya mampu memandang tajam wajah lelaki itu. Kemudian pandangan aku alihkan pada kertas laporan yang sudahpun bercorakkan tapak kasut.
            “Maaf, saya tak sengaja” kali ini ucapan maaf itu lebih panjang daripada yang sebelumnya.
            Aku sudah tidak tahu apa yang patut aku lakukan saat ini. Nak marah pada lelaki itu, ternyata bukan salah dirinya. Jadi aku terus mengambil kertas yang dihulurkan, segera bangun dan mendapatkan lif yang pintunya sudah mahu tertutup. Tiada patah kata yang aku hulurkan pada lelaki itu. Tidak ada masa untuk berbual panjang untuk perkara yang dah pun terjadi. Lebih baik aku kejar masa yang tinggal. Itu lebih berfaedah.

“WOI, Zul!” aku terus menyergah Zulhairi yang begitu tekun dan asyik sekali memerhati wanita yang lalu lalang. “Amboi, sampai naik juling mata tengok perempuan. Berdosa tau tak!” selaku seorang kawan, nasihat percuma aku berikan bersama senyuman yang menghiasi bibir. 
            “Hei, kau ni, Su… tak habis-habis sebut pasal dosa. Aku tahulah!” Zulhairi Nampak tidak senang. “Kau punya pasallah ni, Su. Kalau tak jumpa juga, aku nak bawa siapa jumpa mak aku hujung minggu ni?” Zulhairi mula memaparkan kerisauannya.
            “Kau tu yang degil, nak salahkan aku pula. Aku suruh kau terus terang aje, kau tak nak!” aku tarik kerusi, kemudian duduk bertentang mata dengan Zulhairi.
            “Kau agak-agaklah, Su. Mak aku marah tak kalau dia tahu aku tipu dia?” baru kini Zulhairi memberikan perhatian kepadaku.
            “Ermmm… tak! Aku rasa, tak. Mak kau takkan marah, tapi…”
            “Tapi apa?”
            “Mungkin mak kau kecewa sikit, kut” perlahan ayat itu aku sampaikan. Terdengar keluhan Zulhairi.
            “Peninglah kepala aku, Su. Aku tak faham kenapa mak aku nak juga aku kahwin? Aku tak bersedia langsung nak pikul tanggungjawab sebagai suami” Zulhairi meluahkan apa yang mungkin terpendam di hatinya selama ini. Mendengarkan itu, aku hanya mampu tundukkan wajah. Apa yang perlu aku katakan untuk aku lindung hati Zulhairi yang mungkin sedang tersiksa saat ini.
            “Jangalah macam ni, Zul.  Mungkin mak kau…”
            “Aku balik dululah, Su” Zulhairi terus bangun sebelum sempat aku menghabiskan kata.
            “Zul...” panggilanku tidak lagi dihiraukan.  

SUDAH tiga hari aku tidak terserempak dengan Zulhairi. Alih-alih, hari ini aku menerima panggilan telefon daripada mak cik Khamsiah, menjemput aku dan adik-adikku untuk makan tengah hari di rumahnya. Mujur aku masih belum menyiapkan makanan tengah hari. Jadi sekurang-kurangnya, aku dapat berehat.
            “Suruh adik-adik siap” arahan itu aku beri pada Alia, sebaik sahaja talian aku matikan.
            “Kita nak pergi mana, Along” terus Alia meletakkan pen yang tadinya ada di tangan.
            “Tak payah nak banyak tanyalah, siapa aje!” enggan aku hulurkan jawapan. Kakiku terus menapak menaiki anak tangga, menuju ke bilik. Aku juga harus bersiap segera. Namun hati terus tertanya-tanya untuk apa mak cik Khamsiah menjemput aku sekeluarga makan bersama hari ini? Apakah yang istimewanya dengan hari ini? Cuba juga aku risik-risik tadi, namun mak cik Khamsiah hanya ketawa kecil kemudian meminta supaya aku ke rumahnya untuk mengetahui hal selanjutnya.  
            Walaupun rumahku dengan rumah Mak Cik Khamsiah hanya dipisahkan dengan satu deretan rumah, namun aku masih tetap mahu memandu ke rumah mak cik Khamsiah. Tidak tega pula melihat  Alia, Azira dan Amira berjalan kaki waktu tengah hari terik begini. Pantas enjin aku hidupkan. Azira dan Amira, awal-awal lagi sudah masuk ke dalam kereta. Kini tinggal Alia sahaja yang masih belum nampak batang hidungnya. 
            “Terhegeh-hegeh!” kata-kata itu keluar dari mulutku ketika Alia baru saja meletakkan punggungnya di dalam kereta. Alia hanya tunduk, tidak sesekali cuba membalas kata”
            “Along…” suara kecil Amira kedengaran. Mungkin kerana dia hanya duduk di sebelahku, lalu dengan pantas saja telinga menyambut panggilan itu. “Along nak bawa kita orang pergi makan, ya?” 
Hampir saja bibirku mengukir senyuman saat alunan pertanyaan itu selesai disuarakan. Amira memang pandai menyejukkan hati. Mungkin kerana dia yang paling bongsu, maka aku lebih senang dengan keletah dirinya. Namun tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh bibir itu, diambil alih dengan segera oleh hati, semata-mata tidak mahu meraka bertiga terlihat akan senyuman itu.
            “Duduk situ diam-diam.” langsung tidak padan jawapan yang aku berikan. Sedikitpun tidak menjawab pertanyaan Amira. Dan seperti selalu, tiada siapa yang berani mengingkari arahan.
            Enjin kerata aku matikan walaupun tidak sampai lima minit dihidupkan. Alia dan Azira berpandangan sesama sendiri. Dapat aku perhatikan dari cermin pandang belakang. Aku yakin meraka sudah berjaya menjawab teka-teki yang tadinya bermain di minda mereka. Pasti mereka tidak akan menyangka yang aku akan membawa mereka ke rumah mak cik Khamsiah kerana memang jarang sekali aku membawa mereka ke situ.
            Aku tidak mahu kehadiran mereka bertiga terus menyusahkan mak cik Khamsiah. Cukuplah dulunya aku menjadikan mak cik Khamsiah tempat mengadu kasih. Aku tidak mahu mereka meraih simpati sama sepertiku. Lagipun aku ada untuk menjaga mereka. Aku masih memegang janjiku pada arwah ayahku untuk tidak meninggalkan mereka. Aku akan terus pegang janji itu.
            “Jangan nak buat bising kat rumah orang. Jangan usik barang-barang orang dan yang paling penting, jangan makan selagi orang tak pelawa” pesanan itu aku berikan sebagai tanda peringatan. Aku mahu mereka menjadi orang yang beradab biarpun kini mereka tidak lagi mempunyai ibu bapa yang berperanan besar untuk memberikan dididikan. Setidak-tidaknya mereka masih boleh dididik olehku. Dididik dengan sepenuh hati walaupun itu tanggungjawab yang berat buatku.
            “Baik Along” hanya suara Amira yang kedengaran, manakala Alia dan Azira hanya memberikan isyarat kepala, tanda memahami mahuku.
             Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah teres dua tingkat itu, dapat aku perhatikan pelbagai hidangan sudah sedia terhidang di atas meja makan. Mak cik Khamsiah terus mengajak kami ke meja makan. Kebetulan jam sudah hampir pukul satu petang, jadi perut yang kosong benar-benar senang dengan agenda pertama itu.
            “Meriah semacam aje lauk-pauk ni, mak cik. Ada majlis apa sebenarnya?” sambil mula menempatkan diri di meja makan, aku mengambil kesempatan untuk mengetahui apa sebenarnya tujuan jemputan makan tengah hari.
            “Majlis apa lagi, Su. Majlis suai kenal dengan bakal menantulah” lebar senyuman mak cik Khamsiah.
            “Bakal menantu?” aku terkejut! Biar betul? Takkan dalam tempoh dua, tiga hari ni, Zulhairi sudah berjaya berjumpa dengan calon isterinya? Pelbagai soalan mula mengambil tempat di fikiran. “Zul mana, mak cik?” entah kenapa kelibat Zulhairi sangat aku perlukan saat ini. Aku sangkakan Zulhairi sudahpun berterus terang dengan ibunya dengan menceritakan perkara sebenar. Nampaknya, aku sudah silap membuat tekaan.
            “Zul kat dalam bilik dialah, Su. Kejap lagi turunlah tu” Mak cik Khamsiah mula menyusun pinggan-pinggan kosong. “Alia, Azira dengan Amira, sihat?” soal mak cik Khamsiah pada budak bertiga yang turut bersedia untuk menjamu selera.
            “Alhamdulillah, kami sihat. Mak cik sihat? Lama dah tak jumpa mak cik” Alia menjawab. Mungkin atas faktor usia, jadi dia menjawab soalan itu bagi pihak dua orang lagi adiknya. Dapat aku liha sifat kematangan yang terselah dari dalam dirinya. 
            “Mak cik pun, sihat. Mak cik sebenarnya rindu juga dengan kamu semua. Tapi Kakak kamu ni, bukannya reti nak bawa kamu jumpa mak cik. Geram mak cik dibuatnya”
            Kakak! Sikitpun hati tidak senang dengan gelaran itu.
            “Mak cik rindu Amira, ya?” tiba-tiba Amira mencelah. Membuatkan semua yang ada terlepas tawa, kecuali aku!  aku berjaya menghalang tawa itu. Pantas mata aku buntangkan pada Amira, tangan telunjuk sudah aku rapatkan pada bibir, mahu dia berhenti daripada berkata-kata.
            “Rindu… rindu sangat-sangat” mak cik Khamsiah meletakkan tangannya pada pipi Amira. Aku pula hanya mampu memerhati.
            “Siap dah, mak?” Zulhairi muncul sudahnya. Muncul bersama muka yang berseri-seri. Seolah-olah sudah tidak sabar lagi untuk memperkenalkan calon isterinya. “Wah, adik-adik abang Zul pun semua dah sampai!” Zulhairi tersenyum pada semua, kecuali padaku. Dia seakan-akan enggan melihat kehadiran aku di situ. Sedikitpun aku tidak dipedulikannya. Mungkinkah Zulhairi marah? Hati mula membilang persoalan-persoalan yang timbulnya bersealng seli. Mungkin juga Zulhairi marah. Mana tidaknya, aku langsung tidak menghulurkan bantuan pada saat-saat dia benar-benar mengaharapkan pertolonganku.
            “Hensemlah abang Zul hari ni” Amira bersuara lagi. Jari ibunya diperlihatkan pada Zulhairi.
            “Abang Zul memang hensem!” Zulhairi melayan kata. Kini dia merapatkan jari ibunya pada jari ibu Amira. Membuatkan Amira kelihatan begitu gembira.
            Dipinggirkan oleh Zulhairi begitu, membuat aku mati kutu di situ. Dudukku tidak lagi senang. Nak tersenyum salah, nak ketawa lagilah salah. Jadi aku hanya mampu jadi pemerhati pada babak-babak mesra Zulhairi dan mak cik Khamsiah melayan Alia, Azira dan Amira.
            Selesai makan tengah hari, kami dijamu pula dengan aneka puding dan kek. Perutku memang tidak dapat mengisi makanan dengan banyak apabila memikirkan sikap dingin Zulhairi pada hari ini. Dan yang bertambah peliknya, bayang calon isteri Zulhairi juga tidak muncul-muncul sehingga kini.
            Meja kopi sudah penuh dengan piring-piring yang masih lagi penuh berisi pencuci mulut untuk dinikmati. Semua juga sudah mengambil tempat di atas sofa di ruang tamu, kecuali mak cik Khamsiah. Hanya dia yang menghilang entah ke mana. Azira membuka langkah pertama, cuba bangun untuk mengapai makanan yang ada.
            “Aku pesan apa?” perlahan aku bisikkan kata, namun pantas tangan Azira aku tarik. Cuba menghalang daripada meneruskan niatnya. Pandangan tajam yang aku berikan dibalas sepi oleh Azira. Lalu dia kembali duduk di tempatnya.
            “Biarlah, Su. Budak-budak nak makan. Biarkan dia orang makan” pak cik Ismail cuba menenangkan keadaan yang tidak setegang mana.
            “Su nak dia orang belajar untuk hormat orang tua, pak cik” aku balas. Aku mahu pak cik Ismail faham maksudku yang sebenar.
            “Su… Su…” Pak cik Ismail menggeleng-gelengkan kepalanya.
            Zulhairi bangun tiba-tiba, mendapatkan piring yang ada di atas meja, lalu dihulurkan pada Azira. Pantas Azira menyambut huluran itu tanpa sedikitpun melihat ke arahku. Selama ini dia tidak pernah membantah kata. Entah kenapa dengannya hari ini? Zulhairi pun sama. Seperti ada yang tidak kena.
              “Zul, aku nak cakap dengan kau sekejap!” terus aku melangkah keluar dengan harapan Zulhairi akan turut serta. Aku perlu bertanya mengapa dengan dirinya? Sikap acuh tak acuh yang ditunjukkannya menyeret aku ke dalam dilema. Andainya ada salah yang aku lakukan, aku perlu tahu apa kesalahan itu?
            Aku bersandar pada tembok, menanti Zulhairi. Sayangnya, wajah mak cik Khamsiah pula yang muncul saat ini. Zulhairi ni memang nak kena! Hatiku dah mula rasa panas.
            “Su…”
Panjang pangkal namaku disebut oleh mak cik Khamsiah. Di bibirnya ada senyuman. Melihat senyuman itu, aku turut memberikan balasan.
“Kenapa Su tipu mak cik? Su buat mak cik berharap aje tau. Kempunan mak cik nak ada menantu cantik macam yang Su cakap hari tu”
Terkejut aku mendengar ayat yang baru saja mak cik Khamsiah lafazkan. Jadi, bukankah ini bermakna, Zulhairi sudahpun menceritakan semuanya. Patutlah Zulhairi bukan main marah lagi padaku. Ini punca yang sebenarnya. Kali ni baru aku boleh senyum lebar. Kalau hal sekecil ini, tak jadi masalah padaku. Esok, lusa, hilanglah marah Zulhairi tu. Zulhairi mana boleh marah aku lama-lama.
“Mak cik, Su betul-betul minta maaf. Su…”
“Tak apalah Su. Sebenarnya mak cik pun tak kisah, siapa-siapa yang Zul pilih jadi menantu mak cik. Yang penting, dia mesti pandai jaga Zul macam mak cik jaga. Dan mak cik rasa, kali ni Zul dah buat pilihan yang tepat”
“Zul dah buat pilihan yang tepat?” ayat akhir itu aku ulang kembali. Seperti ada kepincangan pada ayat itu. Bukan picang dari sudut sturukturnya, tapi dari segi maksudnya. “Zul dah ada pilihan ke, mak cik?”  dahiku mula berkerut.
“Dahlah, Su. Kamu hentikanlah dialog sama kamu tu. Jangan nak ulang drama dulu”
“Tapi mak cik, Su…”
“Tak ada tapi-tapi. Su dengar cakap mak cik ni. Mak cik tahu, Su perlukan masa untuk fikirkan pasal adik-adik Su. Tapi mak cik tak nak pasal adik-adik Su, Su rahsiakan pasal hubungan Su dengan Zul. Mak cik juga tak nak disebabkan hal-hal kecil macam ni, Su nak tangguhkan rancangan perkahwinan Su dengan Zul. Mak cikkan ada… mulai hari ni, mak cik akan bantu Su uruskan adik-adik. Sekarang ni, mak cik cuma nak Su tumpukan pada majlis Su dengan Zul. Kalau boleh secepat yang mungkin. Bulan depan bertunang, boleh?”
Jantungku rasa direntap keluar mendengar luahan kata mak cik Khamsiah. Rasa macam nak pengsan. Kenapa tiba-tiba pula soal perkahwinan aku dengan Zulhairi dibangkitkan? Sejak bila aku atur agenda itu? Aku sendiri tak pernah terfikir untuk berkahwin, inikan pula berkahwin dengan Zulhairi. Aku yakin, mak cik Khamsiah salah faham. Ya, salah faham! Ataupun yang sebenarnya…
Zul! kuat jeritan nama Zulhairi kedengaran. Tapi nyaringnya jeritan itu hanya mampu didengar dari dalam hati. Kurang asam kau Zul, kau main taktik kotor ya! Patutlah nak pandang muka akupun kau tak berani hari ni. Mati-mati aku sangkakan yang dia sedang marah. Rupa-rupanya… aku betul-betul tak puas hati!
“Mak cik, Su…”
“Dah! Sekarang ni bukan masa untuk Su cakap apa-apa. Su cuma perlu dengar cakap mak cik! Sejak kecil lagi Su sentiasa ikut nasihat mak cik, kali ni pun mak cik nak Su buat yang sama. Mak cik betul-betul gembira sebab Su bakal jadi  menantu mak cik” satu ciuman singgah di dahiku.
“Mak cik hadiahkan loket ni, pada Su. Memang mak cik dah niat nak hadiahkan loket ni pada menantu mak cik. Kalau mak cik tahulah Su orangnya, dari dulu lagi mak cik dah bagi loket ni pada Su” loket berbentuk hati itu diletakkan atas tapak tanganku. Kemudian aku dipeluk erat. Saling tidak tumpah seperti pelukan kasih sayang seorang ibu untuk seorang anak.
Aku sudah jadi seperti orang bisu. Hanya mampu mendengar, tidak lagi mampu membalas. Bayangan wajah Zulhairi yang sedang gelak sampai guling-guling, tergambar di fikiran. Aku takkan biarkan ini terjadi. Aku ada tanggungjawab yang lebih besar untuk aku galas hingga hujung nyawa. Perkahwinan ini takkan pernah terjadi!

Bersambung...

P/S : atas kesibukkan, maka entry inipun lewat dipostkan. mohon maaf pada semua rakan pembaca. apapun terima kasih kerana tetap setia menantikan entry ini. Insya'ALLAH buat yg bercadang ke Pesta Buku esok, bolehlah singgah ke booth Karyaseni kerana AH akan berada di sana pada jam 11-12.30 tgh hari. Semoga kita dapat bertemu dan menjalinkan ukhwah. Salam sayang buat semua