Tuesday, April 17, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 4


4
TERNYATA Zulhairi terlebih dahulu sampai di Warung Santai. Kalau ikutkan, malas rasanya nak membawa kaki melangkah menghampiri Zulhairi yang mukanya kelat-kelat masam tu. Mesti kena bebel punyalah. Andaian demi andaian menemani minda.
            “Assalamualaikum… awal sampai!” aku terus  duduk tanpa menunggu dipelawa oleh Zulhairi terlebih dahulu.
            “Wa’alaikumusalam. Habis tu kau nak aku sampai pukul berapa?”
            “Amboi, Zul… garangnya. Rileks lah,  tak cool langsunglah kau ni!” aku senyum simpul. Seboleh-bolehnya cuba menenangkan keadaan.
            “Nak cool macam mana, kau ingat 30 hari bulan tu, tiga tahun lagi ke? Tiga minggu lagi aje, kau tahu tak” Zulhairi memang dah tak keruan. “Ni semua kau punya pasalah, Su. Yang kau pandai-pandai menokok tambah cerita apa hal? Sekarang, kat mana aku nak cari menantu untuk mak aku?” Zulhairi memang betul-betul marah.
            “Oi... kalau iyapun, kau cakaplah perlahan sikit. Malulah semua orang duk pandang kita ni!” perlahan suaraku. Berharap Zulhairi faham.
            “Ah… sekarang ni aku tak kira. Nak tak nak, kau kena tolong aku carikan bakal menantu mak aku” Zulhairi mengeluarkan arahan.
            “Kau dah gila ke, Zul? Apahal pula aku yang kena carikan? Kau carilah sendiri, kan kau yang nak kahwin, apa pula kena mengena dengan aku? Lagipun, mana aku nak jumpa perempuan Pan Asia?” aku bantah. Tak nak terlibat langsung dalam misi pencarian gadis misteri itu.
            “Ha… kau tahupun susahnya nak cari perempuan Pan Asia. Habis tu yang kau gatal-gatal reka cerita yang bukan-bukan tu kenapa?” Zulhairi memang tak puas hati.
            Aku tunduk seketika. Tiba-tiba terbit pula rasa penyesalan di hati. “Aku saja nak sedapkan cerita. Kau pun satu, kau tak takut dosa ke, tipu mak kau macam tu?” pantas pula aku ubah topik. Dengan segera menimbulkan rasa bersalah di hati Zulhairi. Tiba-tiba satu pukulan singgah di kepalaku. Habis rambut yang tadinya kemas. 
            “Oi.. apa main pukul-pukul kepala ni, sakitlah” aku protes. Salahkah kataku tadi?
            “Tahupun sakit. Yang sibuk sebut pasal dosa tu apasal? Aku tahulah”
            “Ah.. dahlah, malas nak layan kau, aku baliklah” aku bingkas bangun. Sakit kepala masih lagi terasa.
            “Su… Su…”
            Jeritan Zulhairi tidak lagi aku hiraukan. Pandai-pandailah dia. Tapi bagus juga, dengan satu pukulan itu tadi dapat juga aku melarikan diri. Dan Zulhairi, pasti dia akan menganggap yang aku sedang merajuk. Selesai masalah aku.

NAMAPUN kawan, jadi mahu atau tidak, sudahnya, terpaksalah juga aku membantu Zulhairi mencari sang kekasih yang tak pernah wujud dalam alam nyata. Itupun setelah puas dipujuk rayu. Atas dasar simpati, maka aku bersetuju untuk memberikan bantuan kemanusiaan. Tapi, nak aku kenalkan dengan rakan-rakan sepejabat denganku, rata-ratanya sudah mendirikan rumahtangga. Yang bakinya pula sudah mengikat tali pertunangan. Di jabatanku sendiri, hanya aku yang masih belum berkahwin. Jadi pejabat aku bukan tempat yang sesuai untuk dijadikan sasaran.
            “Su..”
            Ada suara yang memanggil saat aku khusyuk memikirkan soal jodoh Zulhairi sambil menunggu lif sampai. “Zul…” terejut aku melihat kehadiran Zul di situ. “Kau buat apa kat office aku ni? Kan aku dah janji aku tolong… nanti aku tolonglah. Tak payahlah kau asyik cari aku aje. Sini tempat kerja aku, kau tahu tak!” aku terus suara. Tidak suka dengan tindakan Zulhairi yang tak habis-habis mengejar aku. Takut sangat aku mungkir janji.
            “Eiii… kau ni kan Su. Nasib kat ramai orang kat sini. Kalau tak, aku dah cekik-cekik kau” balas Zulhairi perlahan. Tidak mahu orang ramai yang turut sama menunggu lif untuk ke pejabat masing-masing terdengar katanya.
            “Kau ingat aku tak ada kerja lain ke?” tambah Zulhairi lagi.
            “Habis tu, kau buat apa kat sini? Jalan-jalan cari makan, ke?” soalku tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.
            “Kalau dah pukul 8 pagi, kau rasa orang pergi kelas piano, ke, pergi office?” soalan yang aku berikan dibalas juga dengan sebuah soalan.
            “Maksud kau…” aku mula terfikirkan sesuatu. Ya, hari ini Zulhairi sudah mula berkerja, tapi…. “Zul, kau kerja kat wisma ni juga, ke?” senyuman aku terukir dengan sendirinya.
            “Iyalah, habis tu, kau ingat, kau seorang aje yang boleh kerja kat sini?” Zulhairi buat muka bersahaja. Sedangkan aku sudah gembira berbakul-bakul. Dengan kehadiran Zulhairi di situ, pasti aku akan lebih ceria. Yes!!! “Kau kerja kat company mana? Company tempat aku kerja, ke?” aku soal lagi. Menyesal pula tak pernah bertanya awal tentang perkara itu pada Zulhairi. Aku hanya tahu yang dia sudah mendapatkan pekerjaan. Tapi tidak pula aku tahu di mana. Zulhairi pun satu. Langsung tak nak dia berkongsi berita gembira itu dengan ku.
            “Tak ada masa aku nak kerja satu office dengan kau. Daripada sekolah rendah, sekolah menengah sama-sama dengan kau, masuk universiti pun kena mengadap muka kau Apa kau ingat aku ni tak ada rasa bosan, ke?. Kalaulah aku satu office dengan kau, mahu termuntah aku dibuatnya. Hari-hari kena tengok muka kau tu” Zulhairi memeluk tubuhnya. Sediktipun matanya tidak dialihkan ke arahku.
            “eleh…” hanya ayat itu yang mampu aku keluarkan. Malas aku nak bertegang urat dengana lelaki itu awal-awal pagi begini. Buat hilang mood bekerja di pagi hari isnin begini. Lif sampai juga akhirnya, apabila pintu lif terbuka luas, aku pun terus melangkah masuk ke dalam lif. Zulhairi sudah tidak lagi aku hiraukan.

KAFETERIA kian lengang. Mana tidaknya, sudah hampir jam dua petang, jadi rata-ratanya sudah kembali ke pejabat masing-masing. Jadi inilah masa yang sesuai untuk aku turun ke kafeteria, mencari roti yang biasanya menemani perut kosongku. Masuk saja kafeteria, aku terus mendapatkan roti yang masih berbaki tidak banyak mana pada rak pamer yang terletak tidak jauh dari juruwang.
            “Su”
            Tindakanku untuk membuat bayaran terhenti apabila terdengar ada suara yang memanggil. Aku cukup kenal akan suara itu. Siapa lagi pemiliknya kalau bukan Ahmad Zulhairi. Kemudian aku terus membuat bayaran. Zulhairi sudah tiba di sebelahku.
            “Lambatnya kau makan. Dah nak pukul dua, baru nak makan?”
            Soal Zulhairi sambil mengikut mengikut rentakku yang mula meninggalkan kafetaria.
“Makan roti aje? Kenyang ke?” soal Zulhairi lagi.
“Alahai, Zul… tak payahlah kau buat-buat take care pasal aku. Macamlah aku baru kenal kau pagi tadi. Kau ni nak apa sebenarnya Zul? Cuba terus terang?” plastik roti aku buka. Gigitan pertama singgah pada roti berintikan sambal ikan bilis.
“Kau ni memang memahamilah, Su. Tak boleh aku nak trick sikit” Zulhairi ketawa. “Okaylah, aku terus terang. Kau dah jumpa ke, belum?” akhirnya Zulhairi berterus terang juga.
“Belum” laju jawapan aku hulurkan. Aku faham maksud Zulhairi yang sebenar. Apa lagi yang ingin dia bertanyakan kalau bukan pasal pencarian kekasih hatinya.
“Kat pejabat kau takkan tak ada?”
“Tak ada!” balasku ringkas.
“Lecehlah macam ni, Su. Buatnya kita tak jumpa macam mana? Masak aku nanti” mula kelihatan garis kerisauan pada wajah Zulhairi.
“Alah, banyak lagi masa, apa yang kau nak risau?” melihat riak tidak tenang Zulhairi membuatkan hatiku juga rasa tidak tenteram. Kalau bukan kerana aku, pasti semua ni tak akan terjadi.
“Banyak masa kau cakap, Su? Kita ada tiga minggu aje tau. Pejam celik, pejam celik, dah tiga minggu. Nahas aku kalau macam ni”
“Kalau macam tu, kau pejam ajelah mata tu, tak payah celik-celik. Selesai masalah” balas aku bersahaja.
“Kuang asam kau, Su!” 
            Aku gelak melihat riak Zulhairi saat ini. Ternyata lelaki itu serius dengan pencariannya kali ini. Sebuah pencarian yang entah bila akan berakhir. Sebagai kawan baik, aku sendiri berdoa dan berharap semoga dia segera dipertemukan dengan seorang gadis baik, yang dapat menjaga dirinya buat selama-lamanya. “Gurau ajelah. Nanti aku tolong tanya-tanyakan kat kawan-kawan opis aku tu. Manalah tahu dia orang ada adik ke, sepupu ke, jiran ke. Kau tak payahlah risau sangat, small matter aje” cuba aku corakkan sedikit ketenangan dalam diri Zulhairi. Berharap dia kembali tenang.  
            “Ni yang buat aku sayang kat kau lebih ni, Su!” Zulhairi mengenyitkan matanya. “Aku gerak dululah. Nanti balik sama. Aku follow kereta kau dari belakang. Sekarang ni, keselamatan kau, keutamaan aku. Siapa keluar dulu, tunggu kat simpang depan wisma” Zulhairi mengangkat tangannya, menabik hormat sebelum bergerak dengan penuh senyuman.
            Tertawa aku mendangar pernyataan yang dikeluarkan. Aku tidak pasti sama ada Zulhairi sedar ataupun tidak yang sebenarnya dia sentiasa memastikan keselamatanku diutamakan. Bukan baru hari ini tapi sejak perkenalan pertama aku dan dirinya.

HANYA tinggal satu minggu sebelum Zulhairi harus membawa pilihan hatinya bertemu dengan kedua orang tuanya. Namun sehingga hari ini Zulhairi masih gagal mendapatkan sesiapa untuk dijadikan calon yang dapat dipersembahkan dengan bangganya. Kalau diikutkan, aku sendiri buntu cara. Semua aku dah cuba, tapi jawapan yang aku dapat hanya hampa.
            Zulhairi pun satu masalah juga. Dia meletakkan tugas itu pada bahuku seorang diri. Sedangkan dia hanya bertindak duduk memerhati. Jadi bertambah sukar keadaan aku kini. Kalau aku ikutkan hati, mahu saja aku buat-buat tak peduli. Pandai-pandailah dia berdikari, mencari sendiri calon isteri. Tapi masalah aku pula, aku mudah tewas dengan wajah muram yang dipamerkannya. Rasa tewas itu membawa aku untuk teruskan saja kisah yang sepertinya tak ada penyudah.
            “Zul, aku rasa kau terus terang ajelah dengan mak kau tu. Senang cerita, selesai masalah” sebenarnya aku sendiri dah tak berdaya untuk membantu Zulhairi. Lalu aku kemukakan cadangan itu. Berharap Zulhairi akan mempertimbangkannya sebelum menolak mentah-mentah usul yang aku berikan.
            “Cakap memang senang, Su. Aku yang nak kena menghadap dengan mak ayah aku tu, bukan kau” Zulhairi nampaknya sudah menolak cadangan yang baru aku kemukakan tidak sampai lima minit. Ternyata dia tidak bersetuju.
            “Habis tu, nak buat macam mana? Bukan kita tak cari, kita dah cuba. Tapi tak jumpa!” sedaya upaya aku cuba memahamkan Zulhairi.
            “Tak ada cara lain ke, Su?”
            “Cara apa lagi, Zul? Kepala aku ni, sikit lagi nak pecah memikirkan masalah kau. Mengaku ajelah, Zul!” aku mendesak.
            “Tak bolehlah, Su. Macam kau tak kenal mak aku tu. Silap hari bulan, dia kahwinkan aku dengan entah siapa-siapa. Ish… tak nak aku” badan Zulhairi mula mengelitik, tidak senang dengan andainya sendiri.
            “Okaylah tu. Kalau mak kau dah ada calon. Kau kahwin ajelah”
            “Huh, tak ingin. Pada aku kahwin dengan perempuan yang aku tak pernah jumpa, lebih baik aku kahwin dengan kau”
            “Kahwin dengan aku? No way, Zul. Kau gila ke apa nak kahwin dengan aku?” pantas aku bantah idea kurang bijak Zulhairi.
            “Pasal apa tak boleh pula? Kau ingat aku ni teruk sangat ke?” Zulhairi kelihatan tidak berpuas hati dengan jawapan balas yang aku berikan.
            “Bukan macam tu. Kita ni dah kawan pada kecil… kau tak terasa ke, macam….” Sukar pula untuk aku gambarkan apa yang sebenarnya bermain difikiranku saat ini. “Pendek cerita memang tak bolehlah, Zul!”
            “Iya tak ya, juga. Lagipun aku bukan ada perasaan kat kau. Nanti tak pasal-pasal kau jadi janda muda” Zulhairi mula gelak.
            “Ni dah lebih…” aku tarik muka.
            “Okaylah, So sekarang apa rancangan kita? Takkan kau tak ada backup plan?” Zulhairi masih mengharapkan sesuatu.
            “Dah… tak ada backup…backup! Balik ni, kau bagi tahu aje pada mak ayah kau perkara yang betul. Kalau kau tak cerita, biar aku yang cerita!” titik penamat cuba aku letak pada kisah cinta dongeng Zulhairi. Biar semuanya kembali kepada asal.
            “Su…” panjang alunan namaku diserunya.
            “Tak ada… aku tak peduli. Kau nak panggil aku Su ke, Si ke, Sa ke, balik ni kau tetap kena settle kan semua. Aku tak larat dah” Kali ini aku nekad!

Bersambung....

P/S : lewat pula AH letak entry kali ini. Memang lupa sungguh. Jadi maaf ya... Terima kasih krn masih sudi mengikuti SAC.. :) 

Monday, April 9, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 3


3
            Semua hidangan sudah aku siapkan. Terhidang elok di atas meja. Kemudian aku ambil tempat duduk yang dulunya menjadi tempat duduk ayah. Tepat jam lapan malam, seorang demi seorang turun dari tangga, menghampiri meja makan. Aku hanya memerhati tingkah ketiga-tiga adik beradik itu. Alia, Azira,dan Amira. Sudah aku tetapkan begitu jadualnya. Makan pada jam lapan malam.
Sejak ayah meninggalkan kami tiga tahun yang lalu, sudah banyak perubahan yang aku lakukan. Arwah ayah terlalu berlembut dengan mereka. Aku tahu arwah ayah menganggap mereka masih kecil. Tapi bukankah 20 tahun lalu, aku juga seorang anak kecil? Tapi pada waktu itu kenapa arwah yang seakan tidak mempedulikan aku? Selepas ibu meninggal dunia, ayah seakan tidak menumpukan perhatian dan kasih sayangnya padaku. Aku dibiarkan menguruskan semua perkara sendirian tanpa bantuan sesiapa. 
Setelah ayah berkahwin dengan mak cik Saleha, aku fikirkankan ayah bakal berubah. Namun ternyata aku silap.  Ayah tetap sama seperti dahulu. Sedikitpun ayah tidak mengizinkan mak cik Saleha membantu aku menguruskan kehidupan. Malah selepas kelahiran Alia, Azira, dan Amira, aku diarahkan untuk menjaga kepentingan ketiga-tiga orang anak barunya itu. Hati anak mana yang tidak sedih apabila dipinggirkan begitu?
“Along, kenapa Along sedih? Along ingat kat ayah ya?”
Kenangan itu hanyut apabila suara Amira mula berkumandang. Air mata yang tiba-tiba menitis aku seka. Tidak mahu ada antara mereka yang melihatnya. Atau mungkin juga mereka telahpun melihat titisan jernih yang singgah di pipiku. “Giliran siapa baca doa?” aku membuat pertanyaan. Mahu menutup kesedihan yang tadinya bertandang.
“Azira” Azira membuat pengakuan. Masing-masing menadah tangan dan doa mula dibaca. Usai membaca doa, Alia mula bangun dan mendapatkan mangkuk yang berisi nasi. Satu demi satu pinggan kosong yang ada dipenuhkannya.  Itu memang tugas yang aku tetapkan untuk dia. Antara adik beradiknya yang lain, dialah yang paling tua. Jadi dia harus menjadi contoh teladan untuk adik-adiknya yang lain.
“Makan” isyarat kebenaran itu aku berikan setelah Alia kembali duduk di kerusinya. Seorang demi seorang menunggu giliran untuk menyudu lauk masuk ke dalam pinggan masing-masing. Itu juga arahan yang aku keluarkan. Tidak boleh berlaku perebutan ketika makan. Dan ternyata mereka akur. Melihat mereka menyuap nasi ke dalam mulut, hatiku menjadi sayu dengan tiba-tiba. Adakah aku terlalu berkeras dengan mereka? Tidak pernah sekalipun aku kuntumkan senyuman buat mereka. Sesaatpun tidak ada masa yang aku luangkan untuk mendengar keluhan dan bicara hati mereka, padahal mereka juga sama sepertiku, kehilangan ayah. Malah pasti mereka merasa lebih teruk memandangkan mereka turut kehilangan kasih sayang seorang ayah yang tidak pernah aku jamah sejak kecil.
Air mata yang bertakung menunggu masa untuk luruh. Pantas aku tolak kerusi, bangun dan terus beredar ke dapur. Aku tidak tahu apa yang tidak kena dengan diriku. Namun akhir-akhir ini aku kerap memikirkan tentang mereka bertiga. Andai kata ajal juga menjemputku suatu hari nanti, siapa yang akan menjaga mereka? Terdetik hati kecilku. Air mata yang tidak berjaya aku halang, mengalir juga sudahnya. Aku biarkan sahaja ia membasahi pipi. Paip air di sinki juga aku biarkan terbuka.
Ah… lantaklah. Kenapa aku pula yang harus kusut kepala memikirkan tentang mereka. Andai kata nafasku sudah terhenti, bukankah itu bermakna tanggungjawabku juga sudah selesai. Kalau aku mampu untuk menguruskan semuanya seorang diri, mengapa mereka bertiga tidak! Ada pula suara yang mengajar aku penyelesaiannya. Aku tutup kembali pili air apabila terlalu banyak curahan air yang terbuang dari tadi. Selera untuk menyambung makan sudah tidak ada. Lalu aku bergerak ke bilik. Langkahku terhenti sebaik sahaja mahu melintasi meja makan. Jelingan mataku menyaksikan bahawa ketiga-tiga adik beradik itu turut sama berhenti daripada mengisi perut mereka.
“Makan, habiskan semua lauk tu. Jangan ada yang membazir!” selesai saja pesanan ringkas itu aku berikan, aku membawa kakiku laju mendaki anak-anak tangga untuk sampai ke bilik. Jauh di sudut hati, aku berharap agar tingkahku tidak membantutkan selera mereka.

BUKAN main lebar senyuman mak cik Khamsiah, menyambut kedatangan aku ke rumahnya petang itu. Bukan senang nak tengok senyuman mak cik Khamsiah secerah mentari petang. Pasti ada berita gembira yang ingin dikongsikan denganku. Kalau tidak, masakan dia meminta aku datang untuk menemuinya di rumah. Atas sebab itulah aku kini sudah terpacak di hadapan pagar rumahnya.
            “Assalamualaikum, mak cik” salam aku hulurkan sambil memerhati terus perjalanan mak cik Khamsiah menghampiriku.
            “Wa’alaikumusalam, sampaipun Su. Marilah masuk” pelawa mak cik Khamsiah. Tangannya mula membuka pintu pagar yang berkunci.
            “Eh, tak apalah mak cik, Su nak cepat ni. Nak uruskan adik-adik Su, pula. Masak pun belum lagi ni” bukan sengaja aku memberikan alasan, namun sememangnya aku belum sempat melakukan itu semua. Balik saja dari pejabat, aku terus ke sini seperti pintanya.
            “Oh… lupa pula mak cik. Su nak kena balik cepatlah ni, ya”
            ‘Ha’ah, mak cik. Kenapa mak cik nak jumpa Su ni? Ada hal penting ke?”
            “Eh, Su ni. Mestilah penting. Kalau tak penting, mak cik tak panggil Su datang jumpa mak cik” beria-ia mak cik Khamsiah kelihatan. “Sebenarnya, mak cik nak ucapkan terima kasih kat Su”
            Tiba-tiba pula mak cik Khamsiah memegang tanganku. Terkejut aku dibuatnya. Apa kes sebenarnya ni? Puas fikiran mencari jawapan. “Kenapa nak berterima kasih pada Su pula, mak cik? Su tak ada buat apa-apapun rasanya” dahiku sudah mula berkerut dengan sendirinya. Jadi aku perlukan penjelasan atas kelakuan pelik mak cik Khamsiah.
            “Su, ni. Sudah gerahu cendana pula, dah tahu, buat-buat tanya pula, ya”
            Mendengar pantun dua kerat warisan tradisi yang mak cik Khamsiah tuturkan, membuatkan otakku bertambah jem. Lebih sukar untuk mentafsir maksudnya. Nak dibalas pantun mak cik Khamsiah, nampak gayanya memang tidaklah. Masakan aku mampu nak mencipta pantun. Kalau difikirkan juga, sampai kiamatpun belum tentu berbalas. “Apa yang geharu, apa yang cendana ni, mak cik? Su betul-betul tak faham ni” aku memang tak faham, jadi aku berterus terang. Berharap tidak akan ada lagi pantun yang menyusul untuk menerangkan keadaan sebenar.
            “Alah, Su ni… pasal kawan baik Su, tulah” mak cik Khamsiah mula membuka cerita.
            “Kawan baik Su?” aku bertanya, setahu aku satu-satunya kawan baikku ialah Zul. “Maksud mak cik… pasal Zul?”
            “Iyalah… pasal Zul. Habis tu, Su ingat pasal siapa lagi?”
            “Kenapa dengan Zul, mak cik? Dia kat mana? Dia tak apa-apa ke?” jantung berlari dengan lajunya saat ini. Cuak aku dibuatnya. Apa yang telah terjadi pada Zul? Hati tertanya-tanya. Semalam, Zul kelihatan baik sahaja. Apa pula yang tidak kena dengan dirinya hari ini?
            “Ish… kamu ni, Su… yang cemas sangat ni, kenapa? Fikir yang bukan-bukanlah tu!. Cuba Su tengok muka mak cik ni betul-betul. Su tak nampak ke betapa gembiranya mak cik sekarang ni?”
Penjelasan mak cik Khamsiah itu kembali menenangkan hati. Iya tak ya juga, andai Zul dalam keadaan yang tidak diingini, mustahil mak cik Khamsiah, kelihatan happy go lucky begitu. Fikiran ini selalu saja menjana persepsi negatif. “Mak cik ni, buat saya gabra aje. Ingatkan ada benda buruk tadi” lega penafasanku. Tidak lagi tersekat-sekat seperti beberapa saat tadi.
“Su tu yang fikir bukan-bukan. Nak salahkan mak cik pula!”
Tawa kecilku mula kedengaran. “Apa kes dengan Zul, mak cik?” kembali aku bertanya.
“Ha… ni mak cik nak cerita ni. Pagi tadi, Zul dah buat pengakuan depan mak cik yang dia dah ada teman wanita”
Buntang mataku mendengar kisah yang sebenarnya. Zulhairi dah ada teman wanita? Itu amat mustahil kerana setahu aku, 24 jam yang lalu, dia masih lagi memegang teguh status bujangnya. Takkan alih-alih saja dia sudah bertemu dengan wanita pilihan hatinya?
“Mak cik ni biar be…”
“Su” suara lantang yang memanggil, membuatkan aku gagal untuk menghabiskan kata. Zulhairi aku perhatikan terkocoh-kacah mengenakan selipar lalu berjalan pantas mendapatkan kami di pintu pagar. Aku hanya sekadar memerhati.
“Cerita apa ni? Macam best aje. Boleh joint?” ada riak cemas pada wajah Zulhairi yang terus mengambil tempat di sebelah ibunya. Sebelah tangan diletakkan ke dalam poket seluar, manakala sebelah lagi tangannya mula memeluk bahu ibunya.
“Zul… mak kau cakap kau dah ada teman istimewa, betul ke, ni?” laju bibirku tuturkan pertanyaan. Berita hangat begitu, pasti aku tidak terlepas untuk mengambil tahu. Berbunga-bunga rasa hati mendengar khabar yang sememangnya mengembirakan. Namun entah kenapa Zulhairi hanya kaku di situ. Lidahnya seakan kelu untuk membalas kata.
“Eh, Su tak tahu ke? Zul cakap, Su lah orang pertama yang tahu pasal hal ini?”
Kali ini, aku pula terdiam mendengarkan pertanyaan mak cik Khamsiah. Lalu pantas anak mataku mencari wajah Zulhairi. Zulhairi menepuk dahinya perlahan. Matanya dibulatkan ke arahku, seolah-olah mengharapkan satu pengertian.   
“Kau ni, Su… saja buat-buat lupakan?. Jealous lah tu, mak”  Zulhairi mengenyitkan matanya berkali-kali ke arahku.
Isyarat matanya itu membuatkan aku kembali sedar. Mungkin inilah pertolongan yang Zulhairi maksudkan tempoh hari. “Ha…. Iyalah. Perempuan yang kenalkan kat aku hari tu kan? Yang muka ala-ala Pan Asia tu kan?” aku buat-buat gelak. Lekas-lekas ditutupkan kembali lubang yang hampir pecah. Gila punya Zul, kalau iyapun, bagilah signal dari awal. Ini tidak, buatnya pemikiran aku tak berfungsi tadi, kan nahas jadinya.
“Lah… budak ni. Mak cik dah agak dah, Su mesti lebih banyak tahu daripada mak cik” senyuman mak cik Khamsiah kelihatan lagi.
“Su saja buat gimik, mak cik. Amboi… untunglah mak cik, dapat menantu kacukan. Confirm cucu cicit mak cik, lawa-lawa ni” aku tambah perisa. Biar nampak lebih real. Alang-alang mandi, biar basah. Alang-alang tolong Zulhairi, biar sampai habislah.
“Betul ke, ni Su? Cantik sangat ke, orangnya?” mak cik Khamsiah makin teruja. Sedangkan Zulhairi aku lihat membesarkan matanya ke arahku. Pasti dia marah dengan cerita yang sedang aku reka. Sendirian aku gelak dalam hati. padan muka kau, Zul. Buat rancangan tak beringat. Ambil kau!
“Ish… apa pula tak cantik, mak cik. Cuba mak cik bayangkan… Kulit dia punyalah gebu, hidung pula bukan main mancung. Tinggi pula tu, ala-ala model. Bak kata budak-budak sekarang nilahkan, mak cik, memang terbaik dari ladanglah” Bukan main gembira hatiku dapat mengenakan Zulhairi. Membuatkan dirinya seperti cacing kepanasan.
“Ni yang mak cik tak sabar nak jumpa calon menantu mak cik ni, Su” mak cik Khamsiah menyatakan hasrat. Hasrat yang pastinya membuatkan Zulhairi tak tidur malam. “Ha, Zul, mak nak kau bawa dia jumpa mak dengan ayah hujung minggu ni, boleh?”
Oh..oh… Aku dan Zul sama-sama membatu. Terkejut dengan permintaan mengejut yang baru saja diperdengarkan. Zulhairi memandang aku, dan aku juga memandang Zulhairi. Terdiam kami di situ.
“Boleh ke, tak ni Zul?”  desak mak cik Khamsiah.
“Mak ni, nanti-nantilah dulu. Zul pun baru aje kenal dengan dia. Takkan terus-terus aje nak bawa jumpa mak dengan ayah” Zulhairi enggan mengikut kata. Pastinya dia tidak dapat memenuhi permintaan ibunya. Wanita mana yang hendak dibawa bertemu dengan kedua orang tuanya? Ingat senang jadi cari buah hati. bukannya boleh beli kat pasaraya berdekatan. Kalaulah boleh, mudahlah sikit kerjanya.
“Okay, kalau macam tu, bawa dia ke rumah hujung bulan ni”
Aku pejam rapat kedua-dua belah mata. Tidak sanggup mendengarnya. Permintaan itupun tak masuk akal. Mustahil… amat mustahil untuk Zulhairi tunaikan.
“Mak…” Keluh Zulhairi, seakan buntu bicara.
“Tak ada mak..mak! Kalau kamu tak bawa dia hujung bulan ni, taulah apa yang mak nak buat nanti” tegas mak cik Khamsiah.
“Su minta diri dululah, mak cik. Hari pun dah nak maghrib ni. Nanti kita sembang lagilah ya” aku mahu segera angkat kaki. Melarikan diri. Kalau tidak, pasti Zulhairi akan cekik aku sampai biru muka. Jadi, sebelum mak cik Khamsiah beredar, masuk ke dalam rumahnya, lebih baik aku yang bergerak terlebih dahulu. Lebih selamat begitu. 
“Iyalah, Su. Bawa kereta elok-elok”
Pantas aku hulurkan salam buat mak cik Khamsiah. Kemudian satu lambaian aku berikan buat Zulhairi yang mukanya sudah merah padam. Tanda tidak berpuas hati dengan tindakanku mengelakkan diri. “Aku balik dulu Zul”

ENTAH sudah berapa puluh kali telefon bimbitku mendendangkan aku dengan nada yang sama. Dan aku tahu, pemanggilnya pun, pastinya juga daripada orang yang sama. Zulhairi! Tak perlu aku bangun dan meletakkan pandanganku pada skrin telefonku, dari atas katil ini pun aku sudah boleh tahu gerangan pemanggil.
            Bukan sengaja aku tidak mahu menjawab panggilannya itu. Tapi aku tahu akibat yang bakal aku tanggung nanti. Jadi terpaksalah aku pekakkan telinga. Setidak-tidaknya untuk sehari dua lagi. Biar kemarahan Zulhairi reda dahulu. Zul… Zul… tak ada masalah, cari masalah!
            Kini, deringan bertukar nada. Petanda ada mesej masuk. Kali ini barulah aku turun dari katil, mendapatkan telefon bimbit yang tadinya terletak di atas meja solek. Pasti Zulhairi sudah putus asa untuk terus memanggil, lalu dia kirimkan pesanan ringkas dengan harapan aku akan membacanya. Ternyata ramalanku benar-benar belaka. Nama Zulhairi tertera jelas dengan mesejnya;
            Oii, Su. Pandai kau mengelak ya. Kalau kau tak dtg jumpa aku sebelum tengah hari esok, siap kau!!!
            Aku tergelak sendiri membaca mesej berbaur ugutan yang masih baru aku terima. Pantas jari jemariku menekan punat yang ada untuk membalasnya.
            Aik… main ugut-ugut nampak? Ingat aku takut ke? Apa yg kau boleh buat? Haha.. :p
Tangkas jari jemari Zulhairi menaip mesej. Tidak sampai seminit, mesej balas aku terima daripada Zulhairi. 
            Kalau kau nak tengok aku mengamuk kat office kau, esok, kau tak payahlah cari aku!
Lagi mesej yang aku terima itu tidak memutuskan semangat aku untuk terus membalasnya dengan berani.
            Kau nk mengamuk? Pada kau mengamuk kat office aku, lebih baik kau pergi cari awek pan asia kau tu. Uwekkkk!!!!
Kemudian, datang lagi mesej Zulhairi membalas kata. Tidak mahu mengalah
            Okay. We will see!
            Uik… mesej itu membuatkan aku gigit jari. Biar benar Zul ni? Takkan dia betul-betul nak amukan office aku tu? Terus aku campakkan telefon bimbitku di atas tilam. Tidak mahu berlanjutan perang mesej antara aku dan dia. Lebih baik aku tidur. Esok nak kerja.
            Sudah hampir satu jam aku terbaring di atas katil, tapi kenapa pula enggan lelap saat ini? Aku lebih terbayangkan mesej Zulhairi daripada melayan rasa mengantuk yang hilang dengan tiba-tiba. Kalaulah Zulhairi betul-betul buat begitu, bagaimana? Mahunya aku kena buang kerja. Kalau aku kena buang kerja, macam mana pula aku nak sara tiga beradik yang dah tentu-tentu tengah nyenyak tidur tu? Sudahlah si Zulhairi tu memang jenis lelaki yang gila-gila. Ada kerisauan yang bermukim di hati. Ini tak boleh jadi! Lalu segera aku capai telefon bimbitku.
Zul, esok jumpa aku kat warung santai pukul 1.30 petang. Faham!
Kemudian aku cuba kembali memejamkan mata, dan kali ini senang pula mataku lena.

Bersambung...

P/S : Terima kasih krn masih sudi dan setia mengikuti Saat Ada Cinta.... Mungkin karya ini tidak sehebat karya2 di luar sana. Namun Insya'ALLAH, AH akan cuba memberikan yang terbaik buat rakan2 pembaca setia AH. Sila tegur AH andai ada kekurangan yang perlu AH perbaiki. Kerana AH hanya tahu Menulis, maka AH perlukan guru yang mampu memperbaiki kelemahan2 AH. Dan guru yg AH maksudkan tidak lain dan tidak bukan, ialah ANDA SEMUA. Terima kasih atas komen yang dititipkan. Sgt AH hargainya...  

Monday, April 2, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 2

                                         2
Aku tidak tahu bagaimana untuk aku mulakan? Nak cakap salah, tak cakap pun salah. Dalam keadaan yang penuh dengan serba salah ini, sedikit sebanyak membuatkan kerjaku terganggu. Ayat apa yang perlu aku susun demi memastikan janjiku pada mak cik Khamsiah tertunai? sekaligus, Zulhairi takkan bermasam muka denganku. Bukan isu biasa yang terpaksa aku bincangkan dengan Zulhairi. Ini soal besar dalam hidupnya, dan aku juga tahu yang Zulhairi tidak suka orang lain ikut campur tentang urusan masa depannya.
“Cik Suraya, Ada tetamu nak jumpa”
Terbang semua fikiran yang ada mendengarkan suara Wani, penyambut tetamu syarikat. Pantas telefon aku angkat untuk dapatkan maklumat lanjut.
“Siapa Wani?”
“Encik Ahmad Zulhairi. Dia tunggu cik Suraya kat ruang menunggu”
“Okay, Thanks Wani” ganggang aku letak kembali. Mata aku pejam seketika, tertanya-tanya, atas tujuan apa Zulhairi mencariku di sini? Ketenangan kian diganggu. Rasa bersalah kini menghimpit saat bersua dengan Zulhairi. Segera aku membawa diri ke ruang menunggu.
“Apa kes?” itu soalan pertama yang keluar dari mulutku sebaik saja langkah menghampiri Zulhairi.
“Terkejut  ke?” balas Zulhairi ringkas bersama senyuman manisnya. Langsung tidak menjawab pertanyaan yang tadinya aku utarakan.
“Terkejut? Huh, tak ada maknanya! Tapi kalau kau nak tengok aku terkejut, aku boleh buat-buat terkejut”
Zulhairi tertawa mendengar patah kata yang aku tuturkan, mungkin kata-kataku mengeletek hatinya.
“Apahal? Tak pernah-pernah nak jejakkan kaki kat office aku, alih-alih muncul pula kau hari ni? Ada good story nak share denganaku, ke? Aku mengambil tempat duduk di sofa empuk. Betul-betul menghadap Zulhairi.
“Tak habis-habis dengan good story. Kau nikan Su, sama aje macam mak aku!” Senyuman Zulhairi mula hilang. Menjadikan semangat yang cuba aku bina untuk menjadi jurucakap makcik Khamsiah, semakin luntur.
“Eh, jom keluar lunch dengan aku. Don’t worry, aku belanja!” perbualan terus bertukar topik.
“Ceh… kau datang sini semata-mata nak ajak aku keluar lunch aje?”
“Banyak tanyalah kau ni. Ikut ajelah!” Zulhairi mendesak
Sorry, kali ni aku tak boleh ikut, aku dah ada program” pelawaan Zulhairi itu terpaksa aku tolak walaupun pelawaannya itu cukup menarik kedengaran. Makan percuma, siapa yang tak nak?
“Alah, program apa yang kau ada, cuba bagi tau aku sikit?”
“Petang ni aku cuti, nak kena pergi sekolah Alia, ambil report card” aku jelaskan sebabnya.
“Kira cantiklah program kau tu. Lepas kita lunch karang, kita teruslah pergi sekolah Alia. Kita menyamarlah jadi mak bapa Alia” Zulhairi ketawa sendiri.
“Ha…ha…” aku buat-buat gelak. Rasanya Zulhairi pun tahu yang aku tidak suka dengan apa yang aku dengar. “Aku rasa kau patut masuk rancangan raja lawaklah, Zul!” aku tarik muka. Sungguh tidak berkenan dengan lawak yang dituturkan Zulhairi. Sikitpun tak mencuit hati. Terus aku bangun dari duduk, bersedia untuk meninggalkan Zulhairi sendirian di situ. Tapak demi tapak aku atur.
“Woi, Su…” terdengar jeritan Zulhairi memanggilku.
“Duduk situ diam-diam. Pukul satu nanti aku turun!” lontar suaraku. Memberikan jawapan yang Zulhairi perlukan. Satu senyuman dapat aku perhatikan terukir di bibir Zulhairi. Masih ada setengah jam sebelum pukul satu menjelang. Ada baik aku sudahkan kerja-kerja yang tak siap-siap dari tadi.

ALIA tersenyum dari tadi. Mungkin berbangga dengan keputusan peperiksaan pertengahan tahun yang dicapainya. Hanya subjek Sejarah sahaja dia gagal memperolehi gred A. Puan Noraidah, guru kelasnya sendiri tak henti-henti memuji kepandaian, kerajinan dan akhlak yang ditunjukkan oleh Alia. Malah, dia antara salah seorang pelajar yang menjadi harapan sekolah untuk peperiksaan SPM nanti. Jadi, tidak banyak yang aku bicarakan dalam pertemuan yang baru tamat sebentar tadi.
            “Along!” terdegar suara kecil Alia memanggil namaku. Derap kakinya juga kedengaran jelas cuba menyaingiaku. Sekilas aku berikan pandangan padanya, kemudian aku kembali fokus pada perjalanan mendapatkan kereta Zulhairi di luar pagar sekolah.
            “Along… Along tak bangga ke, ada adik macam Alia ni?”Perlahan, Alia bertanya.
            Aku pura-pura tidak dengar soalan yang diajukan. Tak ada apa untuk aku banggakan. Dia belajar untuk masa depan dirinya, bukan untuk sesiapa.
            “Along… Along dengar tak?” sekali lagi Alia bertanya.
            Langkah kakiku mati saat itu juga. Aku pandang tepat pada anak matanya. Mahu dia mengerti bahawa aku tidak berminat untuk mengambil tahu lebih-lebih tentang dirinya. Cukup sekadar aku menjalankan tanggungjawab aku sebagai anak sulung dalam keluarga.
            Alia mendiamkan diri sudahnya. Tidak berani untuk bertanya mahupun berkata apa.  Dia juga tidak lagi cuba untuk beriringan denganku dalam perjalanan. Dia hanya berjalan perlahan di belakang.
            “Macam mana?” soal Zulhairi sebaik saja kami masuk ke dalam keretanya.
            Aku hanya mendiamkan diri, mahu membiarkan Alia sendiri menajwab pertanyaan yang sememanganya ditujukan buat dirinya. Tali pinggang keselamatan aku tarik kemas.
            “Semua diam aje ni, kenapa?” lagi soal Zulhairi, apabila Alia juga tidak mahu mengeluarkan suara.
            “Tak ada apalah Zul, kau jalanlah, hantar kita orang balik” aku memberikan arahan. Tidak mahu Zulhairi bertanya lanjut. Dan perjalanan ternyata sunyi sepi tanpa ada yang bersuara.
            “Thanks Zul” pintu kereta Pesona itu aku buka sebaik saja Zulhairi memberhentikan kereta di hadapan pagar rumahku. Alia turut melulu turun dan dengan pantas membuka pintu pagar yang tidak berkunci.
            “Su, tunggu sekejap”
            Belum sempat aku turun dari kereta, permintaan Zulhairi terlebih dahulu kedengaran. Aku kalihkan wajah, memandang tepat ke arah Zulhairi. “Kenapa?” soalku, hairan. Apa yang ingin diperkatakannya?
            “Sampai bila kau nak macam ni, Su? Kau tak kesian kat adik-adik kau ke? Dia orang tu cuma ada kau aje sekarang, dia orang perlukan kasih sayang kau. Tak boleh ke, kau lembutkan sikit hati kau tu?” laju tutur kata Zulhairi, seolah ayat itu telah lama tersusun difikiran dan menunggu masa untuk diluahkan.
            “Kau cakap apa ni, Zul? Kau tahu semuanya kan?” aku enggan menerima kata-kata Zulhairi. Entah apa yang tidak kena dengan dirinya hari ini? Sesungguhnya dia tahu apa yang aku lalui sejak kecil. Apa yang aku ada, dan apa yang membuatkan aku menangis saban hari. Kenapa tiba-tiba saja dia mahu mempertikaikan tindak tanduk aku kini?
            “Aku tahu Su, tapi sampai bila kau nak macam ni? Dia orang membesar depan mata kau, takkan sikitpun kau tak ada rasa sayang pada dia orang? Su, jangan kata kat aku yang kau tak ada hati dan perasaan” Zulhairi mula mematikan enjin keretanya. Menandakan masih banyak yang ingin diperkatakannya. Aku dapat rasakan semua itu.
            “Terima kasih atas nasihat percuma kau tu. Nanti-nantilah aku fikirkan ya, lagipun aku tak pandailah nak berkasih sayang ni. Yang penting, aku tak lupa tanggungjawab aku” sebelum Zulhairi terus menerus menghentam aku dengan kata-katanya, lebih baik aku menghentikan semua. “Alang-alang kau dah bercakap pasal kasih sayang, aku pun ada hal sikit nak cakap dengan kau ni” entah daripada mana aku dapat kekuatan untuk memulakan misi yang ditugaskan kepada aku. Mungkin sekadar untuk mengelak daripada berbual lanjut perihal aku dan adik-adik tiriku yang lain.
            “Apa dia?”
            “Kau tak ada makwe ke?” terus aku bertanya. Tidak langsung berdolak dalih.
            “Makwe? Kau ni sihat ke, tak? Tiba-tiba aje nak tanya pasal hal ni, kenapa?” berkerut dahi Zulhairi.
            “Alah, kau jawab ajelah. Bukan susahpun soalan aku tu”
            “Su, aku kenal kau Su. Kau bukannya jenis yang suka nak ambil tahu pasal hal peribadi aku. Baik kau terus terang dengan aku. Apa hal sebenarnya ni?” Zulhairi tidak berpuas hati.
             “Kau ni, Zul, aku saja tanya. Kau tu kan dah 33 tahun. Takkan tak ada yang special lagi? Bila aku nak merasa makan nasi minyak kau? Aku cuba meneutralkan keadaan. Tidak mahu Zulhairi tahu yang aku sebenarnya bertindak mengikut permintaan ibunya.
            “Malaslah, Su. Aku memang malas nak fikir pasal kahwin ni. Tak pasal-pasal kena fikir pasal tanggungjawab”
            “Alah, lecehlah kalau macam ni, Zul. Takkan tak ada serorang pun yang kau berkenan?” aku mula mengaru kepala. Kalau ikutkan pada pernyataan yang baru saja Zulhairi keluarkan, nampak gayanya, lambat lagilah mak cik Khamsiah nak dapat menantu. Itu juga bermakna, jauh lagilah perjalanan untuk aku sampai pada misi aku yang sebenar. Oh, tidak! Janganlah begitu hendaknya.
            “Dah…dah, keluar dari kereta aku. Malas nak layan kau ni.” Zulhairi mula menghidupkan enjin keretanya.
            “Zul...”
            “Turun aku cakap!” Zulhairi terus mengusir sebelum sempat aku menghabiskan kata. Aku tahu Zulhairi mahu mengelak dari terus terjebak dalam perbualan yang pastinya mengheret dirinya ke gawang resah.
            “Iyalah… aku turunlah ni. Tapi kau kena janji satu perkara”
            “Janji apa?” Zulhairi melirikkan matanya. Cuba menangkap wajahku.
            “Janji cepat-cepat cari jodoh” aku ketawa. Berjaya membawa dirinya sekali lagi ke dalam isu yang paling tidak disukainya.
            “Kau pernah tengok orang makan side mirror tak?” tegang riak Zulhairi kelihatan.
            Aku sudah ketawa besar. Faham benar maksud disebalik kata-katanya itu. Sebelum side mirrow keretanya dicabut, lebih baik aku turun menyelamatkan diri. “Kau makanlah seorang side mirrow kau tu. Beras aku banyak lagi kat rumah” terus aku menletakkan kaki ke atas jalan tar. Segera keluar, lalu kembali menutup rapat pintu kereta Zulhairi.
            “Tahu takut” Zulhairi tersenyum kecil sudahnya. “Dah la, aku balik dulu”
            “Orait” aku mengangkat tangan bersama satu senyuman balas.

PAGI-PAGI lagi mak cik Khamsiah sudah menghubungiku, mahu mengetahui tentang perkembangan kisah anak lelakinya. Tiada jawapan yang mengembirakan hatinya, yang dapat aku berikan. Cuma jawapan hampa yang anak lelakinya itu masih belum mempunyai calon untuk dijadikan isteri.
            “Maksud Su… lambat lagilah Zul tu nak dirikan rumah tangga?”
            Suara mak cik Khamsiah masih kedengaran di corong telefon walaupun sudah aku nyatakan hakikat sebenar. “Itu saya tak pastilah, mak cik” balasku, ringkas. Memang tidak tahu apa yang perlu aku katakan pada saat-saat begini.
            “Su pujuklah Zul. Su kan kawan baik dia” lembut suara mak cik Khamsiah, mendesak untuk aku meneruskan rancangannya untuk bermenantu.
            “Mak cik, bukan Su tak nak tolong mak cik, tapi…” menjadi terlalu sukar bagiku untuk menjelaskan situasi yang aku alami. Mana mungkin untuk aku terus membantunya bagi menjayakan rancangan itu. Bukan mudah untuk aku menyakinkan Zulhairi untuk segera mencari cinta lalu membina istana bahagia.
            “Mak cik tak kira, Su. Selagi mak cik tak dapat apa-apa berita yang melegakan hati mak cik, selagi tu Su kena pujuk Zul. Kalau tidak… hari-hari mak cik akan telefon Su”
            “Mak cik…” talian diputuskan sebelum sempat aku menyatakan keenggananku untuk ikut campur urusan mereka sekeluarga. Nafas tidak selesa aku hembusan. Bukan mudah untuk memaksa Zulhairi. Aku kenal sangat dengan dirinya. Kenapalah aku yang jadi mangsa? Aduhai…

ZULHAIRI muncul lagi tengah hari itu di pejabatku. Bezanya, pada hari ini, dia berpakaian kemas. Berkemeja biru lembut, siap bertali leher. Tersenyum aku melihat penampilannya itu. Kelihatan begitu segak sekali.
            “Amboi Su… senyum sampai telinga nampak? Dapat naik pangkat ke?” soal Zulhairi sebelum sempat aku duduk pada sofa yang terdapat di ruang menunggu itu.
            “Merepek ajelah kau ni, Zul. Mana ada”
            “Habis tu, yang tersenyum lebar tadi kenapa?”
            “Aik, nak senyum pun tak boleh?”
            “Bukanlah tak boleh, tapi senyuman kau tadi tu curious sangat” Zulhairi kembali meletakkan majalah yang ada di sisinya di atas meja kaca. Mungkin majalah itu yang dibacanya sementara menunggu aku turun tadi.
            “Hari ni pun kau bak belanja aku makan juga ke?’ sengaja aku mengusik Zulhairi. Kalau semalam, memang itulah tujuannya. Tapi hari ini mungkin tidak!
            “Of course. Jom!” Zulhairi beria benar. Seolah-olah, memang itu tujuan utama dia datang menemui aku di sini.
            “Biar betul kau ni Zul? Hari-hari duk belanja aku makan, tak kopak ke dompet kau tu?” dahiku sudah berkerut seribu. Seakan tidak percaya. Kemudian, tawa kecil Zulhairi kedengaran.
            “Betullah ni. Aku memang nak belanja kau makan. Nak tahu kenapa?” Zulhairi meninggalkan persoalan untuk aku teka.
            “Kenapa?”
            “Aku dah dapat kerja!” riang suara Zulhairi.
            “Hah, dah dapat kerja dah? Cayalah Zul” aku tumpang gembira dengan berita yang baru saja aku terima. Tidak sampai seminggu pulang ke tanah air, Zulhairi sudah mendapatkan pekerjaan. Seakan tidak percaya. Tapi itu semua tidak mustahil, graduan sarjana lepasan universiti luar negara pasti laku macam goreng pisang panas.
            “Tu yang nak belanja kau makan tu. Jom lah” Zulhairi mula bangun.
            “Aku okay aje. Kata orang… rezeki jangan ditolak” lebar senyuman yang aku ukirkan.

RESTORAN Sri Angkasa yang terletak di dalam Menara Kuala Lumpur itu memang menarik perhatian. Buat pertama kali menjejakkan kaki ke dalam restoran berputar, memang agak teruja. Tapi aku lebih teruja untuk mengambil tahu apakah Zulhairi mempunyai kewangan yang cukup untuk membuat bayaran nanti. Silap-silap hari bulan, duit aku yang terpaksa terbang. Sudahlah baru nak masuk tengah bulan. Ini tak boleh jadi, aku harus juga bertanya pada lelaki yang sukar aku nak duga tindak tanduknya itu.
            “Eh Zul… kau bawa aku makan kat ni, kau ada duit ke, nak bayar nanti? Karang tak pasal-pasal kita cuci pinggan kat belakang” aku terus terang, sambil melangkah, mengikut gerak Zulhairi.
            “Alah, kalau aku tak cukup duit nanti, kau top up lah. Bukan susah. Sharing is caring right” selamba aje Zulhairi membalas pertanyaanku.
            “Kau jangan buat hal, Zul. Mana aku ada duit. Karang tak makan adik-adik aku kat rumah tu!” jujur aku menjelaskan. Buatnya Zulhairi memang tak cukup duit, nahaslah jawabnya.
            “Aik, sayang juga kau kat adik-adik kau ya. Aku ingatkan hati kau tu dah jadi batu kerikil” Zulhairi tersenyum sinis. “Dahlah, duduk. Kalau aku tak cukup duit, aku tak bawa kau makan kat tempat macam ni. Aku bawa kau makan kat kedai mamak aje” Zulhairi menarik kerusi untuk aku duduk. Macam sang kekasih yang melayan manja puteri pujaan hatinya.
            “Tak ada makna sayang menyayang ni. Tanggungjawab aku, mestilah aku kena jaga!” aku bantah keras tanggapan Zulhairi. Tak ada istilah sayang dalam hidup aku. Lebih-lebih pada budak tiga orang tu. Kalau bukan kerana amanah, tak ada mana aku nak pelihara dia orang adik beradik.
            “Peliklah kau ni, Su. Aku rasa lebih baik kau buat check up. Rasanya masa kau lahir dulu, doktor tertinggal hati kau dalam perut mak kau kut. Tu yang tak tahu erti kasih sayang…”
            Panas telinga aku mendengar kata-kata Zulhairi. Semata-mata nak makan percuma, tak pasal-pasal aku jadi bahan untuk dihentam. Ini tak boleh jadi. “Alahai, kau cakap aku. Better kau yang pergi hospital dulu. Check baik-baik, mana tahu yang kau sebenarnya ada masalah kat mana-mana. Iyalah, mak bapa suruh kahwin pun susah!” aku tidak hanya berdiam diri. Kalau dengan Zulhairi, serangan balas harus aku lancarkan.
Napkin di atas meja, yang tadinya cantik seni lipatannya, Zulhairi campakkan ke mukaku. “Marah ke, bang?” aku gelak. 
“Kau memanglah, Su” Zulhairi pamerkan muka tak puas hati. “Kalau kau tak sentuh pasal kahwin tak boleh ke? Tension aku tau tak. Kat rumah kena, kat sini pun kena!”
“Eh, Zul, kau ingat aku suka sangat campur urusan kau. Akupun terpaksa tau tak? Kalau kau tak nak dengar aku cakap pasal kahwin, lebih baik kau settle kan dengan mak kau. Aku tak laratlah, Zul, mak kau nak call aku hari-hari, tanya pasal kau. Mintak tolong pujuk kau kahwin. Kau settlelah baik-baik dengan dia. Tak pasal-pasal aku pun terlibat sama”
“Yang kau ikut cakap mak aku tu, kenapa?”
“Dah mak kau minta tolong, takkan aku nak kata no way mak cik” pantas aku balas pertanyaan tak masuk akal itu. Bagaimana untuk aku menolak permintaan mak cik Khamsiah yang menjadi tempat untuk aku mencurah rasa sejak kecil lagi. “Kau settlekan je lah cepat-cepat. Buat apa-apa yang patut” tambahku lagi.
“Iyalah… nanti aku settle, tapi kali kau kena tolong akulah” Zulhairi membuat perjanjian. Perjanjian yang berjaya melukis senyuman dibibirku.
No problem. Untuk kau, semua pun boleh. Aku mesti tolong” aku juga seperti Zulhairi, memahat janji. “Tapi kau nak aku tolong apa?”  tiba-tiba saja tak sabar nak tunggu rancangan Zulhairi.
“Jadi rakan setongkol akulah” Zulhairi mula ketawa dan ketawanya itu sekaligus mematikan senyuman yang tadinya aku pamerkan. Rakan setongkol! Dapat aku rasa bahawa ada rancangan penipuan sudah diagendakan dalam fikiran Zulhairi. Tapi apa dia?

Bersambung....

P/S : Terima kasih pada semua... <3<3<3